PRU15: Isu pemilihan calon BN selesai, fokus kuasai kerajaan

Calon BN ketika membacakan ikrar parti pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada i November lalu.
Calon BN ketika membacakan ikrar parti pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada i November lalu.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menyifatkan pertelagahan dalam proses pemilihan calon ialah lumrah pada setiap kali pilihan raya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, isu dalaman berhubung calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi BN dan UMNO sudah selesai.

Naib Presiden UMNO itu yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berkata, walaupun di peringkat awal wujud rasa kecewa dalam kalangan mereka yang tidak dicalonkan untuk bertanding pada pilihan raya kali ini, namun mereka telah meletakkan parti di hadapan dan kembali semula kepada parti.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang ialah untuk BN menguasai semula kerajaan Persekutuan pada PRU15 dan menjadi dominan.

"Saya kata ramai yang layak bertanding tapi tidak semua kita boleh bagi (jadi calon). Bagi siapa yang tidak dapat bertanding itu, kita faham mereka pasti kecewa tapi dua tiga hari selepas itu, mereka ‘come back’ dan balik kepada parti,” katanya dalam program Bual Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Datuk Seri Ismail Sabri, yang disiarkan Bernama TV dan beberapa stesen tv tempatan malam Selasa.

Mengambil contoh penyandang kerusi Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, menurut Ismail Sabri di peringkat awal ramai yang mengembar-gemburkan beliau akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), tetapi akhirnya Annuar tetap dengan parti.

Beliau berkata, begitu juga penyandang Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dianggap sebagai seorang tidak puas hati, tetapi akhirnya beliau bekerja keras untuk memastikan calon Parlimen Pasir Salak mendapat kemenangan.

Ismail Sabri berkata, meskipun beliau turut merasa sedih dan kecewa apabila rakan seperjuangannya di dalam parti yang juga disifatkan calon ‘boleh menang’ digugurkan pada PRU kali ini, ia tidak menjadikan isu tersebut sebagai halangan bagi memastikan kemenangan BN.

"Pastinya rakan-rakan bersetuju, solidariti mesti diperkukuhkan, ketepikan apa yang berlaku dan yang penting ialah fokus untuk memenangi PRU,” katanya dan menambah apa yang penting ialah matlamat BN untuk menguasai semula kerajaan Persekutuan.

Ismail Sabri berkata, perselisihan pendapat memang diraikan di dalam parti yang besar seperti UMNO, tetapi tidaklah sehingga membawa kepada perpecahan.
Artikel Berkaitan:


Ismail Sabri berkata, sebab itu beliau dan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sentiasa turun padang bersama dengan kepimpinan tertinggi UMNO bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa tiada isu perpecahan dalaman parti.

Mengenai isu berkaitan beberapa pemimpin UMNO yang terpalit dengan isu rasuah pula, Ismail Sabri berkata, perkara itu melibatkan individu dan bukannya parti.

Sebagai perdana menteri, katanya beliau sentiasa menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah campur tangan dalam urusan mahkamah serta agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Ia terbukti apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas presiden UMNO tetap berdepan dengan keputusan mahkamah.

"Dari segi pemimpin rasuah dan sebagainya, ia tidak melibatkan parti, ia melibatkan individu. Individu yang ada kes diambil tindakan dan tindakan itu pun dikenakan kepada individu tersebut. Ia tidak mengatakan parti UMNO itu rasuah.

"Mereka (SPRM), polis bebas menyiasat sesiapa sahaja dan tidak ada campur tangan dari kerajaan bila (pesalah) dihadapkan ke mahkamah dan mereka perlu menghadapi mahkamah secara bersendirian dan tidak boleh ‘menarik’ parti bersama terlibat dalam isu berkaitan dengan mereka,” katanya. - Bernama