PRU15: Pengundi muda tuntut pembangunan di pedalaman

Nurul Ain dab Ora Orena
Nurul Ain dab Ora Orena
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengundi muda di kawasan luar bandar turut teruja untuk mengundi Sabtu ini bagi menyuarakan tuntutan agar kawasan mereka diberi keutamaan untuk dibangunkan.

Menurut Ora Orena Massiyas, 20, dari Kampung Meligan, Sipitang, dia tidak akan mensia-siakan peluang sebagai pengundi muda pada hari pengundian nanti.

"Saya sudah bersedia termasuk belajar cara-cara untuk mengundi demi pembangunan di kawasan saya. Saya juga menilai calon yang diketengahkan setiap parti.

"Saya perlu ambil tahu mengenai setiap parti yang diketengahkan dan sebagai pengundi muda saya berharap banyak lagi kemudahan di bawa masuk ke kampung saya termasuk jalan raya dan capaian internet yang lebih bagus.

"Ini kerana ramai penduduk di kawasan pedalaman boleh melanjutkan pelajaran tetapi disebabkan kekangan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya dan liputan rangkaian internet yang kurang baik menyukarkan mereka," katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ora Orena yang juga graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berharap dengan undi yang diberikan nanti k akan membawa perubahan kepada kampung mereka.

Sementara itu, seorang lagi pengundi muda, Nurul Ain Abdul Halim, 19, dari Kampung Nusalalung, Pulau Bum-Bum, Semporna, mengakui agak teruja untuk turun mengundi pada Sabtu ini.

Katanya, di Sabah ada pelbagai parti yang bertanding dan calon-calonnya sedang berusaha merebut hati pengundi muda.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada Parti Warisan (Warisan), ada BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan parti-parti lain. Jadi saya kena memilih siapa yang bagus untuk membawa pembangunan di pulau ini dan Sabah khususnya.

"Jadi saya terpaksa berfikir dulu dan dalam masa yang sama, saya juga sedang mengenal pasti beberapa nama calon terutama di kawasan Parlimen Semporna ini termasuk penyandangnya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya.

Nurul Ain berkata, ada pengundi muda keliru dengan pemimpin utama yang mentadbir negara dan negeri disebabkan beberapa kali berlaku pertukaran kerajaan.

"Baru-baru ini kita juga di Sabah baru saja diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), tidak sampai lima tahun pun undi lagi jadi kami pun keliru," katanya.