Gelombang hijau, pengundi muda terus kekal pada PRN

Mohamad Nasir ketika dalam program Wacana Sinar Siri ke 402 yang bertajuk PRN: Debar Menunggu Bubar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Asril Aswandi Shukor
Mohamad Nasir ketika dalam program Wacana Sinar Siri ke 402 yang bertajuk PRN: Debar Menunggu Bubar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa. - Foto Asril Aswandi Shukor
A
A
A

SHAH ALAM - Momentum prestasi Perikatan Nasional (PN) menerusi gelombang hijau dan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terdahulu dilihat dapat terus dikekalkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Prof Datuk Dr Mohamad Nasir Saludin berkata, lebih mengejutkan lagi gerakan dari Pantai Timur itu juga dilihat semakin tersebar menghala ke barat dan juga selatan.

“Hasilnya amat memberangsangkan di mana gabungan dalam PN itu terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Pas, Bersatu dan Gerakan. Kita lihat kerjasama yang erat itu membuahkan hasil dan momentum PRU15 itu akan terus dikekalkan, tidak pernah dilenturkan.

“Kerjasama tiga parti itu amat baik, contohnya kita lihat setiap negeri sudah membuat persiapan untuk PRN ini dan sambutan amat menggalakkan apabila PN membuat himpunan mega di mana disertai oleh satu golongan yang amat kita perlukan iaitu golongan muda.

“Kita lihat hasil PRU15 itu macam ada kebenaran ‘gelombang hijau’ itu bergerak daripada sebelah timur, utara menghala ke arah barat dan selatan,” katanya.

No Image Caption

Beliau berkata demikian ketika dalam program Wacana Sinar Siri ke 402 yang bertajuk PRN: Debar Menunggu Bubar yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Selasa.

Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari dan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak.

Sementara itu, ujar beliau, keyakinan terhadap gelombang itu turut ditambah lagi dengan penglibatan beberapa tokoh UMNO yang turut menyertai ke komponen parti PN seperti Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, penyertaan tokoh itu merupakan satu nilai tambah yang baik kepada pimpinan PN untuk meraih lebih ramai lagi undi dalam PRN akan datang.

“Beliau (Annuar) ada pengikut-pengikut tegarnya, jadi mereka akan menyokong. Itu akan menambahkan lagi kekuatan,” ujarnya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai siapa lagi tokoh-tokoh UMNO yang akan menyertai PN, Mohamad Nasir berkata, ada beberapa lagi nama baharu namun ia bukan di bawah kuasa beliau.

“Ada nama baharu, tetapi itu di bidang kuasa kami. Kami mengalu-alukan sesiapa yang mahu sertai parti kami,” menurutnya.