[VIDEO] PRU15: Pas berprinsip, bukan parti hanyut - Abdul Hadi

Zulkifli bersalaman dengan Abdul Hadi ketika menyambut kedatangan Presiden Pas itu selepas Program Santai Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Taman Desa Cheng Perdana, Melaka pada Selasa.
Zulkifli bersalaman dengan Abdul Hadi ketika menyambut kedatangan Presiden Pas itu selepas Program Santai Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Taman Desa Cheng Perdana, Melaka pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Pas sanggup menjadi pembangkang daripada menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang pemimpinnya terbabit kes rasuah, sekiranya tidak mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas masih berpegang pada prinsip sama untuk menolak mana-mana pihak terpalit dengan isu rasuah dan mahkamah.

Menurutnya, tidak menjadi masalah kepada parti itu untuk mengekalkan pendirian berkenaan berikutan parti itu telah menjadi pembangkang sejak berpuluh tahun.

"Masih sama (pendirian) kita berprinsip, kita bukan parti hanyut walaupun yang menang itu BN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Program Santai Bersama Tan Sri Abdul Hadi Awang di Taman Desa Cheng Perdana di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof; calon Perikatan Nasional (PN) Jasin, Zulkifli Ismail dan calon PN Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Jelas beliau, bagaimanapun parti itu terbuka untuk membuka pintu kerjasama dengan BN sekiranya yang menang itu adalah mereka yang bebas daripada sebarang kes.

"Kita tengok keputusan PRU15 yang menang siapa, (calon BN) bersih ke yang ‘keruh’, kalau yang keruh fikir-fikirlah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, hasrat untuk bekerjasama dengan BN pernah ada, namun itu sebelum pembubaran Parlimen berlaku.

"Kita tunggu perhimpunan agung, UMNO buat perhimpunan, ubah pemimpin UMNO, malangnya mereka tak boleh buat perhimpunan agung.

"Pemimpin yang itu juga, itu jadi masalah. Jadi kenyataan yang diambil (kenyataan Taqiyuddin) berdasarkan kepada kenyataan awal itu," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pas yang bersedia untuk bergabung dengan BN sekiranya tidak mendapat majoriti mudah pada PRU15.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendirian Pas jelas jika diminta untuk bergabung, maka parti itu akan memilih BN.