Isu luar padang tak jejas tumpuan Piala Malaysia: Nafuzi

Nafuzi Zain - Foto Bernama
Nafuzi Zain - Foto Bernama
A
A
A

MASALAH luar padang antara pengurus pasukan dan jurulatih tidak menjejaskan fokus Terengganu FC (TFC) untuk bertemu Selangor pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada malam Rabu.

Ketua Jurulatih, Mohd Nafuzi Zain berkata, moral dan fokus skuad kendaliannya itu tidak terganggu malah akan menunjukkan komitmen 200 peratus di atas padang dalam misi memburu kedudukan selesa untuk dibawa ke gelanggang sendiri, minggu depan.

"Pasukan saya lebih bersemangat untuk menceriakan barisan penyokong. Mereka juga sentiasa bersedia untuk bermain dengan penuh keazaman dan semangat juang tinggi serta teruja kerana sekali lagi berpeluang mara ke final selepas Piala FA.

"Pemain-pemain TFC beri yang terbaik dalam setiap perlawanan. Hasil yang dilihat sekarang adalah daripada kerja keras mereka dan saya percaya momentum itu boleh dikekalkan.

"Kita juga semakin menghampiri penghujung perjalanan dan kami mahu penamat yang menggembirakan," katanya ketika ditemui ketika sesi latihan di sini, pada Isnin.

Dalam pada itu, Nafuzi mengakui berdepan tugas sukar untuk berdepan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe serta perlu lebih berhati-hati dengan taktikal yang bakal disajikan dalam pentas perlawanan nanti.

Beliau berkata, reputasi hebat Selangor menerusi kejuaraan 32 kali dalam kempen Piala Malaysia tidak boleh dipandang sebelah mata oleh skuad kendaliannya.

Jelasnya, Skuad The Red Giant bukan lagi lawan sama yang pernah ditewaskan ketika aksi separuh akhir Piala FA lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sejak mengambil alih melatih Selangor, beliau (Cheng Hoe) tidak pernah tewas dalam lapan perlawanan iaitu enam kali menang dan dua keputusan seri. Mereka juga hanya bolos tiga gol.

"Selangor juga memiliki banyak perubahan dari segi corak permainan lebih tersusun dan saya tahu Cheng Hoe suka bermain (penguasaan) bola serta penggunaan dua pemain sayap yang laju.

"Apa pun, saya harap TFC dapat kekalkan rentak kemenangan dan meraih keputusan positif untuk pertemuan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) nanti," kata beliau.