Giroud bantu Milan ke separuh akhir

Pioli (kiri) dan pemainnya meraikan kejayaan mara ke separuh akhir. - Foto EPA
Pioli (kiri) dan pemainnya meraikan kejayaan mara ke separuh akhir. - Foto EPA
A
A
A

AC Milan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak mereka memenangi trofi itu 16 tahun lalu hasil jaringan Olivier Giroud dalam keputusan seri 1-1 di Napoli untuk kemenangan agregat 2-1 ke atas pesaing Serie A itu.

Napoli mengasak sepanjang perlawanan untuk mencari gol, namun gagal memecahkan benteng pertahanan Milan sehingga penyerang Victor Osimhen menyamakan dalam masa kecederaan.

Namun, ia sudah terlambat untuk pasukan itu apabila pengadil menamatkan perlawanan beberapa saat kemudian.

Juara Eropah tujuh kali Milan akan berdepan Inter Milan atau Benfica yang akan bertemu di San Siro awal pagi esok dengan kelab Itali itu berkelebihan 2-0 hasil kemenangan peringkat pertama.

Jurulatih Milan Stefano Pioli berkata, dia teruja jika dapat menentang pencabar setempat itu pada separuh akhir.

"Boleh dijangka kerana Inter menang selesa aksi pertama. Pastinya saingan ini turut sukar tetapi ia pertembungan menarik di Liga Juara-Juara. Kami berjaya mara dan tidak mahu terhenti setakat ini.

"Saya rasa kelebihan kecil 1-0 pada perlawanan pertama membantu kami," katanya.

Ia adalah pertemuan ketiga antara Milan dan Napoli dalam tempoh 16 hari, dengan pasukan kendalian Pioli itu telah meraih kemenangan 4-0 menentang pendahulu Serie A itu pada 2 April lalu.