Perjalanan ke separuh akhir umpama mimpi

Pemain Inter meraikan kejayaan mara ke separuh akhir. FOTO: EPA
Pemain Inter meraikan kejayaan mara ke separuh akhir. FOTO: EPA
A
A
A

PENGENDALI Inter Milan, Simone Inzaghi menyifatkan perjalanan mereka ke separuh akhir Liga Juara-Juara sebagai mimpi dan tekad berjuang mara ke final.

Inzaghi tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas pasukannya seri 3-3 dengan Benfica pada perlawanan suku akhir kedua di San Siro sekali gus menang dengan agregat 5-3.

Ia sekali gus menamatkan kemarau Inter untuk mara ke separuh akhir sejak memenangi trofi itu 13 tahun lalu.

"Pemain-pemain saya? Mereka mencipta sejarah. Ia bersejarah, kerana apa yang mereka lakukan, mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan Coppa Italia.

"Kami tahu ketinggalan beberapa mata di Liga Itali, tetapi ia kebanyakannya kerana jadual yang gila.

"Apabila kami diundi dalam kumpulan bersama Bayern dan Barcelona pada Ogos (dalam Liga Juara-Juara), kami melihat ia perjalanan yang berliku," katanya.

"Kami berhak untuk mara ke separuh akhir ini. Ia adalah satu impian tetapi kini, kami berada di sini dan kami akan bermain dengan hebat.

"Saya gembira untuk pemain dan perjalanan mereka. Kami bermula dari kumpulan yang sangat sukar bersama Bayern dan Barca tetapi kami bagus, bersatu bersama penyokong yang banyak membantu kami," katanya.

Inter dijadualkan bertemu musuh setempat AC Milan dalam pusingan separuh akhir di San Siro dengan perlawanan pertama akan berlangsung pada 10 Mei dan perlawanan kedua pada 16 Mei.