PRU15: Penyelia bilik gerakan parti dipukul sekumpulan lelaki

Muhamad Zaki (kanan) dan Fakhrul Razi (dua dari kiri) ketika melawat ke pusat pusat pengundian awal di Taska IPK Kelantan pada Selasa.
Muhamad Zaki (kanan) dan Fakhrul Razi (dua dari kiri) ketika melawat ke pusat pusat pengundian awal di Taska IPK Kelantan pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang penyelia bilik gerakan parti di Parlimen Kubang Kerian mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul sekumpulan lelaki dalam perselisihan di Mulong, di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu menyebabkan mangsa cedera pada bahagian mata dan belakang badan.

“Mangsa juga seorang peniaga yang berusia 55 tahun mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) dan membuat laporan polis selepas itu.

“Kejadian berlaku ketika mangsa dikatakan merakam gambar sekumpulan lelaki yang datang bersama bendera-bendera parti lain kemudian mencetuskan perang mulut seterusnya berlaku pergaduhan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu melawat ke pusat pengundian awal di Taska IPK Kelantan yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kelantan, Fakhrul Razi Ab Wahab.

Muhamad Zaki berkata, susulan itu lima lelaki berusia antara 30 sehingga 50 tahun ditahan di sekitar Kubang Kerian, di sini antara jam 3 pagi hingga 5 pagi Isnin bagi membantu siasatan.

“Mereka direman selama dua hari dan akan disambung lagi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, kata beliau, polis Kelantan menerima 275 laporan sepanjang tempoh kempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga Selasa.

“Daripada jumlah itu sebanyak 10 kertas siasatan dibuka termasuk membabitkan kes pukul penyelia bilik gerakan parti tersebut.

“Polis menahan tujuh lelaki bagi membantu siasatan. Kes-kes disiasat antaranya kerana merusuh, fitnah, menimbulkan kegusaran awam, khianat dan ugutan,” katanya.