Parah dipukul, lelaki patah tulang leher, alami pendarahan otak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat perselisihan faham, seorang lelaki parah dipukul dalam kejadian di Jalan Budiman, Cheras pada 20 April lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya kemudian mendapati kejadian tersebut ditularkan menerusi Facebook pada Jumaat.

"Semakan dijalankan mendapati, pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, Kuala Lumpur telah menerima mangsa iaitu seorang lelaki berumur 32 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami pendarahan di bahagian otak, tengkorak (tempurung) kepala retak di bahagian belakang dan patah tulang leher," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa telah berselisih faham dan bertengkar mulut dengan seorang individu.

"Suspek dipercayai lelaki tempatan itu kemudiannya memukul muka mangsa beberapa kali menyebabkan mangsa jatuh terlentang dan tidak sedarkan diri.

"Usaha diteruskan untuk mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini," katanya.

Menurutnya, mangsa kini masih mendapatkan rawatan di hospital.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung suspek serta kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.