PRU15: Empat laporan polis di Terengganu termasuk kes hina calon

Rohaimi (tengah) bersama anggota polis yang mengundi di pusat pengundian awal Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Kuala Terengganu pada Selasa.
Rohaimi (tengah) bersama anggota polis yang mengundi di pusat pengundian awal Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu menerima empat laporan sepanjang tempoh 10 hari kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijalankan di negeri itu sejak 5 November lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, antara kes dilaporkan melibatkan dua kes di Kemaman iaitu ugutan jenayah dan kes hina calon yang disiasat bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 506 KK.

Menurut Rohaimi, dua lagi melibatkan kes menconteng poster calon di Kuala Terengganu yang disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan kes bakar bendera parti di Dungun (Seksyen 435 KK).

"Polis Terengganu turut menerima laporan pada Isnin berhubung video tular melibatkan seorang pelakon yang mengeluarkan kata-kata bersifat ekstrem dalam satu ceramah di Kemaman.

"Kes berkenaan disiasat dibawah Seksyen 506, Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 serta diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman untuk menjalankan siasatan dibawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Rohaimi menasihatkan agar semua calon dan penyokong menjalankan kempen secara berhemah sehingga tamat tempoh kempen yang masih berbaki empat hari lagi.

"Keadaan di Terengganu setakat ini amat tenteram dan terkawal. Hanya empat sahaja kes dilaporkan sejak tempoh kempen diadakan pada 5 November lalu dan ia lebih kepada isu-isu berkaitan poster.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya berharap baki empat hari lagi sebelum tarikh mengundi, rakyat Terengganu terutama penyokong parti dapat mengawal keadaan, meneruskan aktiviti mereka seperti biasa serta menjalankan kempen secara berhemah," kata beliau.