[VIDEO] PRU15: Tiga laporan polis termasuk nafi beri wang diterima

Zaidy selesai melaksanakan undi awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.
Zaidy selesai melaksanakan undi awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Pecah stor, koyak poster dan penafian beri wang ketika berkempen antara laporan polis diterima membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, setakat ini, pihaknya menerima tiga laporan polis sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula 5 November lalu.

Menurutnya, kejadian pecah stor dipercayai berlaku di Sungai Petani membabitkan parti politik yang bertanding dan siasatan sedang dijalankan.

"Kita sedang siasat kejadian sebenar pecah stor ini kerana laporan menyebut hanya kehilangan barang makanan yang disimpan di situ.

"Siasatan lanjut juga akan dibuat berhubung kejadian koyak poster yang dipercayai berlaku di Gurun, Kedah," katanya kepada media ketika melaksanakan undian awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.

Jelas Zaidy, polis turut menerima laporan penafian wakil calon berhubung pemberian wang ketika berkempen.

Zaidy turut beratur bagi melaksanakan undi awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.
Zaidy turut beratur bagi melaksanakan undi awal di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Daerah Kuala Muda pada Selasa.

Katanya, laporan dibuat bagi tujuan menafikan dakwaan bahawa pihak berkenaan telah menyelitkan wang tunai RM50 ketika mengedarkan kalendar kepada pengundi semasa berkempen.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua kes membabitkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Dalam perkembangan sama, Zaidy berkata, seramai 473 anggota dan pegawai polis melaksanakan undian awal di sekolah berkenaan pada Selasa.

Seramai 143 pengundi dari Parlimen Sungai Petani manakala 330 pengundi adalah dari Parlimen Merbok.

"Kita menasihatkan semua parti politik tidak melakukan sebarang provokasi sehingga menjejaskan kelancaran PRU15 dan diharapkan proses pengundian berlangsung secara aman," katanya.

6,041 Polis Kedah tunai tanggungjawab undi awal

Dalam pada itu seramai 6,041 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kedah menunaikan tanggungjawab mengundi awal sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini pada Selasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad yang turut menunaikan tanggungjawab mengundi di Dewan Utama Ibu Polis Kontinjen (IPK) Kedah selesai membuang undi pada jam 9.10 pagi.

Wan Hassan memberitahu, warga PDRM Kedah akan mengundi di 20 pusat undi awal seluruh Kontinjen Kedah bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

"Undi pos turut dijalankan bermula 5 November hingga 19 November ini membabitkan 1,321 pengundi PDRM dengan 843 orang diurus oleh pihak polis sendiri dan selebihnya diurus pihak Pos Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam sidang akhbar di IPK Kedah, di sini, pada Selasa.

Menurut Wan Hassan, Polis Kedah turut menerima 263 laporan polis berkaitan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen PRU15 bermula 5 November sehingga 13 November lepas.

Ujar beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 22 kertas siasatan dibuka dan tiga tangkapan turut dilakukan membabitkan perbuatan khianat iaitu membakar bendera, simbah cat serta mencetuskan provokasi.

"Siasatan dijalankan membabitkan pelbagai kesalahan termasuklah bawah Akta Pilihan Raya 1954 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Beliau menasihatkan pihak yang menganjurkan ceramah sepanjang kempen PRU15 supaya mematuhi semua peraturan berkempen dan memohon permit terlebih dahulu.

"Ia bagi membolehkan sudut keselamatan termasuk kawalan lalu lintas dapat diuruskan bagi kemudahan kelancaran kempen bagi semua parti yang bertanding," katanya.

Tambah beliau, semua penyokong bagi calon yang bertanding turut dinasihatkan supaya tidak melakukan perkara boleh menjejaskan keselamatan dan mencetuskan kemarahan orang ramai sepanjang tempoh berkempen tersebut.