PRU15: Anggota polis berkerusi roda buang undi

Siti Nor Maslinda menunjukkan jarinya selepas selesai membuang undi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.
Siti Nor Maslinda menunjukkan jarinya selepas selesai membuang undi di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis wanita tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun datang dengan berkerusi roda di pusat pengundian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Selasa.

Koperal Siti Nor Maslinda Nordin, 43, yang tiba pada jam 8.15 pagi membuang undi awal dengan dibantu pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Siti Nor Maslinda berkata, dia mengalami lumpuh separuh badan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika bertugas di Balai Parit Bandar Seri Iskandar, Perak pada tahun 2009.

"Ketika itu saya baru selesai bertugas dan dalam perjalanan pulang ke rumah.

"Namun disebabkan kepenatan kenderaan saya terbabas hingga menyebabkan saya mengalami lumpuh," katanya ketika ditemui pemberita.

Jelasnya, meskipun tidak boleh berjalan seperti sebelum ini, namun bukan penghalang untuk dirinya menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Bukan sahaja saya yang membuang undi pada hari ini, malah suami saya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah turut akan membuang undi di IPD berkenaan," katanya yang juga ibu kepada tiga orang cahaya mata.

Jelasnya, akan terus bersemangat untuk menjalankan tugas sebagai warga polis di Jabatan Pengurusan bahagian pelesenan di IPK Melaka biarpun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Artikel Berkaitan:

2,504 polis Melaka laksana undi awal

Dalam pada itu, seramai 2,504 pengundi membabitkan pegawai dan anggota polis akan menunaikan tanggungjawab mengundi awal bagi PRU15 di IPK Melaka di Bukit Beruang, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, daripada jumlah itu seramai 860 pengundi akan mengundi di IPK Melaka, 764 orang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, 623 di IPD Alor Gajah dan 227 orang membuang undi di IPD Jasin.

Menurutnya, sebanyak 24 pusat mengundi dibuka dan daripada jumlah itu 19 pusat mengundi akan beroperasi bermula jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari.

"Seramai 50 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertugas membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka ini adalah yang telah mengundi seawal jam 8 pagi.

"Selepas membuang undi mereka akan bertugas di setiap saluran pusat mengundi awal yang ditetapkan," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di pusat pengundian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang di sini, pada Selasa.

Jelas beliau, sepanjang 10 hari tempoh berkempen PRU15, sebanyak 10 laporan polis telah diterima membabitkan perbuatan khianat.

"Namun daripada jumlah itu hanya lima kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengikut SPR Melaka sehingga jam 10 pagi seramai 3,602 pengundi telah membuang undi dengan jumlah 28.59 peratus.