PRU15: Bagaimana nak mengundi kalau banjir?

Setakat Isnin, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat terutama di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Johor dan Kelantan. - Gambar hiasan
Setakat Isnin, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat terutama di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Johor dan Kelantan. - Gambar hiasan
A
A
A

TINGGAL beberapa hari lagi rakyat Malaysia akan membuat keputusan untuk memilih wakil rakyat masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini, sekali gus membentuk kerajaan baharu menerusi 222 kerusi Parlimen.

Pada PRU kali ini, lebih 21 juta rakyat Malaysia layak membuat keputusan menerusi kertas undi termasuk pengundi berusia 18 tahun yang pertama kali dibenarkan turut serta dalam proses demokrasi di negara ini.

Bagaimanapun, menjadi kerisauan orang ramai ialah keadaan cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini yang akan merumitkan pergerakan orang ramai untuk keluar mengundi.

Isu hari mengundi pada musim tengkujuh sebenarnya sudah lama menjadi polemik iaitu sebelum pembubaran Parlimen lagi.

Sama ada perlu mengadakan pilihan raya pada hujung tahun ini, atau membiarkan sahaja sehingga tamat tempoh penggal mengambil kira risiko banjir yang dijangka melanda beberapa negeri.

Namun, pada 10 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15, sekali gus menjawab segala spekulasi yang berlegar bahawa pilihan raya tidak akan dilaksanakan pada tahun ini.

Berdasarkan maklumat ramalan hujan daripada model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dan sistem Southeastern Asia Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS), terdapat risiko berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi di negara ini pada bulan ini sekiranya hujan lebat atau ribut petir.

METMalaysia yang bertanggungjawab membuat ramalan cuaca mengeluarkan kenyataan bahawa musim Monsun Timur Laut akan tiba lebih awal iaitu pada 7 November dan dijangka berlarutan sehingga Mac 2023.

Artikel Berkaitan:

Jabatan berkenaan turut memberikan amaran bahawa banjir akan berlaku sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar.

Jelas, sejak beberapa hari lalu, beberapa negeri dilanda banjir kilat, malah setakat Isnin, jumlah mangsa banjir di seluruh negara terus meningkat terutama di Perak, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Johor dan Kelantan.

Perkembangan ini tidak boleh dipandang ringan kerana mungkin akan menjejaskan peratusan orang ramai keluar mengundi.

Bukan saja kerana orang ramai terpaksa berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS), tetapi bagi mangsa banjir, sudah tentu tidak ada mood untuk membuang undi.

Bahkan, jika banjir kembali surut pun, mangsa-mangsa banjir akan sibuk untuk mengemas rumah mereka dan sudah pasti tidak mempunyai masa untuk melangkah kaki ke pusat pengundian.

Sementara itu, baru-baru ini, beberapa calon yang bertanding dalam PRU15 juga mengambil keputusan membatalkan aktiviti kempen mereka yang sudah sedia disusun, sebaliknya memberi fokus kepada kerja membantu penduduk yang terjejas.

Antara yang berbuat demikian ialah penyandang kerusi Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim Chee Keong daripada Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan untuk menukar semua pondok jenteranya di kawasan tersebut menjadi pusat bantuan banjir.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana PRU15 dibuat ketika musim tengkujuh yang menyebabkan ramai pihak mengalami kesusahan.

"Rakyat susah, pegawai kerajaan pun susah.

"Pegawai kerajaan kena buat tiga kerja," katanya dalam satu sidang akhbar di Pulau Pinang baru-baru ini.

Selain itu, kumpulan pemerhati pilihan raya Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) turut menggesa pihak berkuasa supaya mengeluarkan satu garis panduan kepada pengundi untuk menghadapi banjir.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Bersih meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan segera pelan kontingensi untuk mengelakkan halangan pengundian akibat bencana banjir.

Tegas mereka, garis panduan yang dikeluarkan SPR dengan libat urus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) perlu mempunyai langkah jelas apa perlu dilakukan pengundi sekiranya kawasan mereka banjir pada hari pengundian ini.

Sebagai contoh, pengundi di kawasan terjejas mungkin dibawa menaiki bot ke pusat pengundian.

Walau apa pun, mahu tak mahu, PRU15 tetap akan berlangsung pada Sabtu ini dan orang ramai terpaksa juga keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun mungkin kawasan mereka dinaiki air.

Kecualilah jika SPR membuat keputusan untuk menangguhkan PRU15, namun ia mungkin sesuatu yang mustahil.

*Mohd Iskandar Othman ialah wartawan Sinar Harian