PRU15: Bahaya naratif jejaskan keharmonian kaum

Gambar hiasan. - Foto 123rf
Gambar hiasan. - Foto 123rf
A
A
A

KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang sudah masuk pusingan kedua dan terakhir ini memang cukup panas.

Masing-masing saling berjuang untuk menunjukkan mereka lebih baik berbanding pihak lawan.

Antara naratif negatif yang sering disebut berulang kali ialah tentang melabel pihak tertentu sebagai komunis dan kegagalan selama 22 bulan pentadbiran.

Selain itu, pihak yang lain pula membangkitkan tentang isu rasuah dan integriti serta polemik calon Perdana Menteri.

Sementara satu pihak lagi membangkitkan tentang isu moral calon tertentu.

Bagaimanapun, perkara yang paling membimbangkan ialah tentang dua perkara yang sangat membahayakan dan menjejaskan keharmonian rakyat di negara ini.

Yang pertama ialah dakwaan bahawa negara ini tidak lagi dibenarkan azan berkumandang, ancaman terhadap bukan Islam dan menentukan syurga atau neraka.

Ini adalah naratif yang sangat bahaya dan tidak sepatutnya dimainkan oleh mana-mana pihak yang bertanding dalam pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Memang sukar untuk menghalang daripada mana-mana pihak untuk bercakap, namun itulah realiti yang berlaku di peringkat rakyat.

Kenyataan-kenyataan yang tidak benar boleh memberikan kesan yang amat buruk kepada negara, malah menjejaskan parti politik sendiri.

Umum mengetahui, Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa dan agama, jadi untuk memenangi sesuatu pilihan raya, setiap parti perlu mendapat undi daripada semua rakyat.

Malaysia sudah merdeka sejak 64 tahun yang lalu dan telah mengalami pelbagai peristiwa besar serta mematangkan rakyat.

Atas sebab itulah, ketika BN kalah buat pertama kali pada PRU14, tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku dan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar.

Realitinya, tiada sesiapa di negara ini yang mahu berlaku kekacauan dan ketidakstabilan dalam politik.

Yang sering menyusahkan rakyat ialah ahli-ahli politik sendiri yang menggunakan politik untuk kepentingan mereka sendiri.

Sehubungan itu, kita semua patut tolak sebarang bentuk politik yang bahaya dan membinasakan kita semua.

Perkara-perkara yang sensitif tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka sebaliknya dilakukan dengan penuh berhati-hati menerusi perbincangan yang sihat.

Sementara kerajaan yang akan dibentuk nanti perlu ambil langkah untuk pastikan bahawa isu-isu sensitif dapat diselesaikan dengan baik.