PRU15: UMNO Pagoh bersedia awal hadapi risiko banjir

Ismail Mohamed
Ismail Mohamed
A
A
A

PAGOH - UMMO Pagoh sentiasa bersedia untuk membantu mangsa-mangsa banjir malah telah membuat persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan bencana itu berlaku di kawasan Parlimen berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, pihaknya telah mengenal pasti tempat-tempat yang mungkin dinaiki air.

"Sebelum bulan November, kita sudah kenal pasti tempat-tempat 'hotspot' banjir.

"Kita dah gerakkan ketua-ketua kampung dan bergerak setiap kampung untuk sentiasa beri maklumat tentang keadaan tempat mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pejabat-pejabat daerah dan negeri juga telah siap sedia menghadapi banjir di Johor.

Beliau juga berkata, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga difahamkan sentiasa pergi ke tempat-tempat 'hotspot' banjir.

"Untuk peringkat awal kita kenal pasti dan siap sedia dengan laporan.

"Kita juga telah ada tim kalau banjir. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan habis tempoh pandemik ini, kebiasaan kita beri makanan yang dah sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Pihak bertanggungjawab akan memberi makanan dan hantar di pusat banjir. Jadi penduduk jangan risau, pejabat daerah dan kerajaan negeri sentiasa ambil berat terhadap masyarakat di Pagoh," katanya.

Sementara itu, mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 449 orang daripada 104 keluarga yang kini ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah negeri ini setakat tengah Isnin.

Jumlah itu berbanding hanya 319 orang daripada 75 keluarga yang direkodkan pada jam 8 pagi Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan, memaklumkan pertambahan mangsa banjir itu berikutan berlaku limpahan paras air sungai utama di beberapa daerah selepas hujan lebat hampir lima jam awal pagi Isnin.

Tangkak menjadi daerah paling terjejas dengan jumlah mangsa banjir teramai membabitkan 193 orang daripada 44 keluarga yang ditempatkan di dua PPS. Ia berbanding hanya 53 mangsa daripada 11 keluarga pagi Isnin.