[VIDEO] Jenama UMNO terjejas teruk pada PRU15 - Akmal

Dr Muhamad Akmal semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
Dr Muhamad Akmal semasa ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis. - Foto Sinar Harian/ Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO harus jujur dan akur bahawa jenama parti itu terjejas teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, banyak maklum balas yang diterimanya tentang imej UMNO yang merudum sewaktu berkempen pada pilihan raya lalu.

Malah katanya, ada tempat yang langsung tidak bercakap tentang calon Parlimen mereka sebab pengundi terlalu banyak menekan berkenaan isu-isu nasional dan dalaman parti yang berlaku.

“Saya menyeru sahabat Pemuda untuk kembali memulihkan jenama UMNO yang diminati, disayangi dan diingini. Saya pasti sahabat perwakilan mahu kita kembali kepada UMNO yang dahulu.

“Bagaimana kita nak pulihkan jenama UMNO yang dekat dan bercakap dengan rakyat, sederap, selangkah dan seiring berpimpin tangan serta parti yang dihormati.

“Saya percaya semua orang sayangkan UMNO. Mana yang jauh kita rapatkan, yang terguris kita tautkan dan siapa merajuk kita pujuk manakala orang di luar, marilah masuk,” katanya dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia di sini, pada Khamis.

Pada masa sama, Muhamad Akmal turut meminta Pemuda UMNO untuk sentiasa peka dan cakna dengan keperluan dan kehendak semasa serta mendahului permasalahan supaya ‘permintaan’ terhadap parti kembali meningkat.

Jelasnya, rakyat sudah menolak politik kebencian, politik fitnah dan politik menakut-nakutkan.

“Rakyat inginkan sebuah politik yang didasari dengan rasa tanggungjawab, minda terbuka dan matang, mengakui kelemahan diri, bersedia untuk memperbaiki serta tidak bertubi-tubi menangguk kelemahan orang lain. Pendek kata, politik yang ‘gentlemen’.

“Bagi menjayakan perkara ini, perlunya sebuah perubahan. Berani untuk berubah dan jangan takut serta gentar. Kita sudah membuktikan, apabila berani membuat perubahan, rakyat kembali percaya kepada UMNO,” ujar beliau.