Malaysia tidak sokong pilihan raya dijanjikan Junta Myanmar

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Malaysia sama sekali tidak menyokong pilihan raya baharu di Myanmar tahun depan seperti yang dijanjikan junta tentera negara itu, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ini kerana tentera junta meminda beberapa peraturan pilihan raya yang dilihat berat sebelah serta tidak dipersetujui pihak berkepentingan lain.

Malaysia komited untuk memastikan Myanmar kembali sebagai sebuah negara demokrasi agar lebih stabil pada masa akan datang.

"Kerajaan junta dianggap tidak bermoral untuk bercakap mengenai pilihan raya kerana pilihan raya yang diadakan Myanmar sebelum ini diakui bebas oleh pemerhati antarabangsa.



"Kumpulan prodemokrasi yang menang pilihan raya sebelum ini menang besar tetapi sebelum sempat bersidang di Parlimen, junta ambil alih kuasa... justeru, tidak logik sama sekali Malaysia dan ASEAN menyokong pilihan raya itu,” katanya pada sidang media menerusi Facebook Live.

Myanmar bergolak dan ekonominya lumpuh sejak rampasan kuasa pada1 Februari 2021 yang menyaksikan pemimpin dipilih rakyat Aung San Suu Kyi digulingkan dan ditahan tentera Myanmar.

Ia sekali gus menamatkan demokrasi di negara itu dan mencetuskan bantahan di seluruh negara selain masyarakat antarabangsa.

Parti pimpinan Suu Kyi, Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) menang besar dalam Pilihan Raya Umum Myanmar yang diadakan pada November 2020, bagaimanapun, tentera mendakwa terdapat penipuan dalam proses undian sekali gus mewajarkan rampasan kuasa yang dibuat.

Terdahulu, Saifuddin berkata, beliau mengadakan sidang video bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres yang transit di Malaysia semasa dalam perjalanan ke Bali, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Anggota Kumpulan 20 (G20).

Saifuddin berkata, dalam perbualan bersama Guterres, beliau memohon kerjasama Guterres untuk penubuhan ‘Inclusive Humanitarian Donor Forum’ membabitkan pelbagai negara seluruh dunia seperti yang dicadangkan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar bagi memastikan segala bantuan dana kepada badan bukan kerajaan (NGO) di negara itu disampaikan secara telus.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, kini banyak NGO yang mahu menyalurkan bantuan kemanusiaan, namun enggan bekerjasama dengan junta Myanmar.

Bagi menyelesaikan masalah itu, Malaysia menyokong cadangan NUG supaya forum yang dianggotai pelbagai negara diwujudkan.

Dalam pada itu, Guterres dilapor mengulangi pendirian PBB untuk membantu Myanmar keluar daripada kancah ketidakstabilan politik.

Tahanan politik di negara berkenaan juga perlu dibebaskan kerajaan junta kerana penahanan mereka dianggap tidak sah, katanya.

Berhubung insiden letupan bom di Istiklal Avenue, Istanbul pada Ahad, Saifuddin berkata, tiada laporan rakyat Malaysia menjadi mangsa letupan yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 88 yang lain setakat ini.

Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dan tidak menghampiri kawasan terlibat serta menghubungi pejabat perwakilan di Ankara dan Istanbul sekiranya perlu bantuan kecemasan. - Bernama