PRU15: PH ambil tindakan isu 'undi PH dan BN masuk neraka'

Sidang media Rafizi di Ibu Pejabat PKR pada Isnin.
Sidang media Rafizi di Ibu Pejabat PKR pada Isnin.
A
A
A

PETALING JAYA - Pakatan Harapan (PH) akan tetap mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mohamad Nasir yang menuduh mengundi PH dan Barisan Nasional (BN) akan masuk neraka walaupun beliau telah meminta maaf.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, laporan polis itu akan dibuat esok pagi di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Katanya, laporan polis itu nanti bukan sahaja dibuat ke atas Mohd Shahiful tetapi kepada seluruh kepimpinan Pas kerana gagal mengawal anggotanya menyebarkan kebencian.

"Saya akan meneruskan tindakan membuat laporan polis terhadap Mohd Shahiful dan Pas atas kenyataan itu dan kenyataan-kenyataan lain yang sering diucapkan di dalam program dan ceramah mereka.

"Program dan ceramah mereka sering bertujuan (sama ada) menimbulkan kebencian terhadap kepelbagaian kaum di negara ini atau menakutkan penganut Islam mengundi kaum lain atau kelompok umat Islam yang tidak menyokong mereka," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rafizi mendakwa Pas sekarang tengah panik kerana terpaksa menggunakan modal kempen yang telahpun ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia.

"Kempen seperti ini berisiko besar dan mengancam ketenteraman awam. Ia tidak sepatutnya dibenarkan berulang lagi," katanya.

Katanya lagi, jika PH memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pakatan itu akan menggubal satu akta untuk mencegah kebencian.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu lagi kempen mengheret agama seperti ini berlaku. Akta itu nanti adalah untuk semua pihak dan kaum supaya kita dapat kawal tatacara dan elak kempen yang mengundang kebencian," katanya.

Mohd Shahiful pada Jumaat lalu telah memohon maaf dan menarik balik kenyataannya berkaitan isu "undi BN dan PH masuk neraka".

Permohonan maaf itu dibuat melalui satu video yang disiarkan di Facebook Pemuda Pas Sik pada Jumaat.

Dalam video berdurasi 34 saat itu beliau turut memohon untuk dihentikan segala bentuk sebaran video itu bagi menjamin keharmonian dan perlawanan PRU15.