10 guru naik kenderaan ATM, jalan ke sekolah banjir

Kenderaan ATM digunakan bagi menghantar 10 guru ke SK Kumpulan Ganda pada pagi Isnin berikutan laluan masuk ke sekolah dinaiki air. - Foto APM Perak
Kenderaan ATM digunakan bagi menghantar 10 guru ke SK Kumpulan Ganda pada pagi Isnin berikutan laluan masuk ke sekolah dinaiki air. - Foto APM Perak
A
A
A

IPOH - Seramai 10 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kumpulan Ganda di Teluk Intan terpaksa menaiki kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan laluan masuk ke sekolah yang dinaiki air pada Isnin.

Paras air di laluan utama sekolah berkenaan naik mendadak berikutan hujan lebat berterusan setinggi hampir 0.6 meter.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak dalam satu kenyataan memaklumkan, laluan berkenaan hanya selamat digunakan kenderaan berat sahaja.

Sekitar jam 8 pagi tadi, operasi mengambil dan menghantar guru seramai 10 orang ke sekolah berkenaan dilakukan ATM dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Buat masa ini, laluan itu ditutup kepada kenderaan ringan," katanya.

Sementara itu, daerah yang dilanda banjir kilat meningkat di Perak berikutan hujan lebat dan berterusan sejak petang Ahad.

Setakat jam 9 pagi, jumlah keseluruahan mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) adalah 283 orang daripada 83 keluarga.

Kesemua mangsa ditempatkan di enam PPS yang dibuka sejak Ahad.

Artikel Berkaitan:

Mangsa tertinggi direkodkan di daerah Hilir Perak dengan 159 mangsa, diikuti Larut Matang Selama (111) dan Kinta (13).

Keadaan paras air naik mendadak dalam kejadian banjir kilat di Simpang Halt sejak malam Ahad. - Foto Bomba Perak
Keadaan paras air naik mendadak dalam kejadian banjir kilat di Simpang Halt sejak malam Ahad. - Foto Bomba Perak

Di daerah Hilir Perak, kawasan yang terjejas adalah Kampung Batu 7, Lorong Mesra dan Lorong Kedah di Kampung Batu 8, Lorong Sidang Osman di Kampung Batu 9, Simpang Tiga dan Kampung Batu 7 1/2.

Turut terjejas, Kampung Batu 2 1/2, Kampung Sungai Lidin, Kampung Jelapang, Taman Mewah Simpang dan Simpang Halt di Larut Matang Selama manakala Kampung Piandang Siputeh (Kinta).