Tangkak daerah terbaharu dilanda banjir di Johor

Anggota Angkatan Pertahanan Awam membantu mangsa terjejas banjir di Kampung Simpang 5 Darat Tangkak, berpindah ke PPS pada awal pagi Isnin.
Anggota Angkatan Pertahanan Awam membantu mangsa terjejas banjir di Kampung Simpang 5 Darat Tangkak, berpindah ke PPS pada awal pagi Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tangkak menjadi daerah terbaharu dilanda banjir kilat, menjadikan jumlah mangsa di Johor meningkat kepada 319 orang setakat jam 8 pagi pada Isnin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam satu kenyataan memaklumkan, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di lima daerah iaitu Pontian, Kulai, Kluang, Segamat dan Tangkak.

Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka pada jam 12.30 pagi Isnin di Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat, Tangkak menempatkan 53 mangsa banjir daripada 11 keluarga.

"Di Kulai seramai 158 orang melibatkan 55 keluarga dari Kampung Baru Sengkang dan Kampung Murni Jaya dipindahkan ke Dewan Serbaguna Kampung Baru Sengkang serta Dewan Raya Kampung Murni Jaya.

"Sementara di Kluang, seramai 34 orang daripada tujuh keluarga dari Kampung Ithnin Maarof ditempatkan di dewan utama kampung berkenaan.

"Pertambahan mangsa banjir itu melibatkan daerah Pontian iaitu 17 orang daripada empat keluarga dari Kampung Sri Gambut, Pekan Nanas yang pindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya pada jam 5.50 petang pada Ahad," katanya.

Menurut JPBD, mangsa banjir selebihnya adalah di Segamat iaitu 39 orang melibatkan 12 keluarga dari Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5 ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak.

PPS yang dibuka di Sekolah Simpang 5 Darat, Tangkak.
PPS yang dibuka di Sekolah Simpang 5 Darat, Tangkak.

Artikel Berkaitan:

"14 orang lagi melibatkan lima keluarga juga dari Kampung Seberang Batu Badak ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Tasek.

"Sementara empat orang daripada sebuah keluarga dari Kampung Kuala Paya ditempatkan di PPS di Balai Raya Kampung Kuala Paya," ujarnya.