PRU15: Empat calon 'taruh' misi sama di Alor Setar

Empat calon, iaitu Tan Chee Hiong (kiri), Datuk Mohamad Nurhairi Mohamad (dua dari kiri), Simon Ooi Tze Min (dua dari kanan) dan Afnan Hamimi Taib Azamudin (kanan) bertemu dalam program ‘Coffee with the Candidate’ di Pekan Cina, Alor Setar pada Ahad.
Empat calon, iaitu Tan Chee Hiong (kiri), Datuk Mohamad Nurhairi Mohamad (dua dari kiri), Simon Ooi Tze Min (dua dari kanan) dan Afnan Hamimi Taib Azamudin (kanan) bertemu dalam program ‘Coffee with the Candidate’ di Pekan Cina, Alor Setar pada Ahad.
A
A
A

ALOR SETAR – Empat calon bagi kerusi Parlimen Alor Setar yang bertanding mewakili parti berbeza tampil membawa misi sama untuk membangunkan sektor pelancongan dan merancakkan aktiviti ekonomi penduduk di kawasan itu.

Calon BN, Tan Chee Hiong berkata, beliau sememangnya berhasrat membangunkan Alor Setar sebagai hab pelancongan, sekali gus mampu merancakkan lagi ekonomi penduduk dan meningkatkan pendapatan mereka.

Menurut Chee Hiong, beliau antara individu terlibat dalam mentransformasi kawasan Pekan Cina dan Pekan Melayu untuk menarik lebih ramai pelancong sejak beberapa tahun lepas.

Beliau memberitahu, hanya ada beberapa kedai-kedai yang beroperasi kawasan berkenaan sebelum mereka memulakan projek dinamakan Lagenda Kedah pada 2014.

“Apabila kita mulakan projek, kita nampak perubahan di kawasan sini (dan) kini sudah terdapat lebih kurang 30 kafe di kawasan ini, (dahulu) kita cuba mengubah tempat ini kerana waktu itu, pada jam 7 malam, seluruh Pekan Cina dan Melayu sunyi sahaja.

“Jadi, kita cuba nak mengubah tempat ini sebagai tempat pelancongan termasuklah menghasilkan lukisan mural selain perkhidmatan ‘river cruise’ selama hampir dua tahun,” katanya ketika berucap dalam program ‘Coffee with the Candidate’ di Pekan Cina di sini pada Ahad.

Tambah beliau, inisiatif terbabit bukan hanya meningkatkan peluang ekonomi penduduk setempat, malah menghidupkan kembali kawasan Pekan Cina dan Melayu.

Beliau turut memberi perhatian masalah banjir di beberapa kampung, selain usaha meningkatkan sektor pelancongan di Alor Setar.

Artikel Berkaitan:

Bagi calon Pejuang, Datuk Mohamad Nurhairi Mohamad, beliau melihat ekonomi di Alor Setar dikhuatiri agak ketinggalan berbanding bandar lain seperti Ipoh.

“Di sini, saya dapati kurang (juga) peluang pekerjaan untuk orang Alor Setar khususnya anak muda, dan jurang kemiskinan antara kaya dan miskin agak tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berazam untuk menaikkan industri pelancongan di bandar Alor Setar yang memiliki pelbagai lokasi menarik dan kemudahan infrastruktur.

“Untuk hadapi masalah ekonomi di sini, cara paling cepat adalah melaksanakan pelancongan (dan) kita lihat dekat sini ada banyak tempat bersejarah. Ada Pekan Cina, Pekan Melayu dan Pekan, macam mana hendak naikkan (ia) sebagai industri pelancongan.

“Pelancongan bukan bermaksud orang datang bercuti sahaja, tetapi pelancongan ini agak besar. Ia ada pelancongan pengajian, pelancongan dari sudut kesihatan, pelancongan dari sudut ekoteknologi,’’ katanya.

Mohamad Nurhairi mencadangkan, bangunan bersejarah di Alor Setar dimasukkan dan diiktiraf dalam kawasan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mempromosikan lokasi itu kepada pelancong luar.

Sementara itu, calon Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudin berkata, Alor Setar perlu dipertahankan dan dibangunkan sebagai bandar warisan dalam taman.

Afnan Hamimi berkata, Alor Setar merupakan bandar telah lama wujud, sekali gus memiliki banyak warisan dan sejarah yang perlu dipelihara generasi kini.

Dalam perkembangan sama, katanya, bandar warisan berkenaan perlu dibina dalam taman untuk menarik pelancong, selain mempertahankan struktur muka bumi dan menyelesaikan masalah banjir di Alor Setar.

“Kena dipelihara sebagai bandar dalam taman dan hasil daripada itu juga dia akan menarik orang datang dan menghidupkan kitaran ekonomi,” katanya.

Beliau berhasrat menjadikan bandar Alor Setar sebagai bandar sejahtera daripada fizikal dan spiritual, sekali gus mesti diterjemahkan selaras dengan dasar kerajaan negeri Kedah.

Menurut calon Pakatan Harapan (PH), Simon Ooi Tze Min, aktiviti ekonomi di Alor Setar sepatutnya lebih pesat memandangkan kawasan itu merupakan ibu negeri Kedah.

Bagaimanapun, beliau mendapati aktivititi ekonomi di kawasan itu masih belum mencukupi, sekali gus perlu dibangunkan dan ditingkatkan lagi bagi membolehkan penduduk menjana pendapatan.

“Susulan itu, fokus saya adalah untuk meningkatkan ekonomi di sini (Alor Setar), saya ada lima teras utama (antaranya) memajukan industri pelancongan.

"Kita memiliki potensi besar yang belum diterokai sepenuhnya, satu bandaraya bersejarah (dan) bangunan bersejarah, kita ada sungai yang indah, gunung dan sawah padi yang cantik.

“Jikalau kita boleh bangunkan sektor pelancongan di sini, pelancong akan datang ke sini dan berbelanja di sini (maka) peniaga-peniaga kecil akan mendapat limpahan ekonomi,” katanya.

Menurut Simon, kedai-kedai lama di Alor Setar seharusnya diberi nafas baharu, namun masih mengekalkan ciri-ciri warisan dan sejarah dimiliki premis terbabit demi menarik pelancong.

Simon memaklumkan, beliau juga akan memberi tumpuan kepada perusahaan kecil dan sederhana, pendidikan, perumahan dan pertanian.