Terngiang kata-kata akhir anak saudara

Shaharuddin (tiga,kiri) ketika ditemui ahli keluarganya di Unit Forensik Hopsital Alor Gajah, di sini, pada Ahad.
Shaharuddin (tiga,kiri) ketika ditemui ahli keluarganya di Unit Forensik Hopsital Alor Gajah, di sini, pada Ahad.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pemuda tidak menyangka akan kehilangan adik tersayang, Syazana Tharin,30 serta anak saudaranya, Yusuf Daniel Muhammad Izwan berusia lima tahun akibat kecuaian pemandu lain.

Shaharuddin Tharin.40, berkata, masih terngiang-ngiang di telinganya kata-kata terakhir anak saudaranya Yusuf Daniel yang mesra dipanggil Yusuf dalam kalangan ahli keluarga ketika mereka berjumpa pada petang Sabtu sebelum keluarga itu bertolak ke Langkawi untuk bercuti.

"Dia sempat cakap pak long esok Yusuf nak pergi jauh, lepas ni Yusuf tak jumpa Pak Long lagi, rupanya kata-kata terakhir itu menjadi kenyataan dan itulah gurauan terakhir arwah kepada saya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hopsital Alor Gajah, di sini, pada Ahad.

Tambah Shaharuddin, begitu rapat dengan kedua-dua anak saudaranya iaitu Yusuf serta adik Yusuf, Aniq Fahim yang berusia dua tahun, memandangkan Syazana akan menghantar mereka berdua ke umah ibunya di Kampung Pondok Batang, Asahan pada setiap petang.

Menurutnya, arwah Syazana yang disifatkan suka membantu dan memudahkan urusan ahli keluarga lain akan menghantar anak-anaknya, kerana mahu membantu suaminya yang menguruskan kedai makan di Felda Bukit Senggeh.

"Saya rapat dengan mereka berdua (anak saudara), kalau saya tidak bekerja pada hari itu, saya yang akan menjaga kedua-duanya mereka di rumah mak.

"Biarpun beza saya dengan arwah adik 10 tahun, namun dia sangat baik dan semalam arwah lebih banyak diam kerana kebiasaannya dia akan mengucapkan terima kasih kerana menjaga anaknya," katanya lagi.

Ujarnya, turut sebak apabila adik iparnya, Muhammad Izwan Ibrahim beberapa kali memohon maaf kerana tidak menjaga Syazana dan anak-anaknya dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Pagi tadi dia telefon saya dan beritahu mereka sekeluarga ditimpa kemalangan dan minta saya datang segera ke lokasi kejadian kerana keadaan Syazana dan anak mereka teruk.

"Apa pun kami sekeluarga reda dan tidak menyalahkan adik ipar (Muhammad Izwan) cuma ralat dengan individu yang melanggar kereta mereka yang didakwa melarikan diri selepas kejadian," ujarnya lagi.

Gambar kenangan keluarga Muhammad Izwan ketika hari raya lalu.
Gambar kenangan keluarga Muhammad Izwan ketika hari raya lalu.

Sementara itu, adik kepada Ibrahim Daud,71, iaitu Osman Daud,62, berkata, arwah abangnya begitu ceria ketika datang ke kedai makannya yang terletak berdekatan Masjis Felda Bukit Senggeh selepas solat subuh.

Menurutnya, abangnya disifatkan suka bersedekah itu sering datang bersarapan bersama keluarganya namun tidak menyangka itu merupakan kali terakhir mereka bertemu.

"Dia datang dengan keadaan ceria dan beritahu mahu belanja semua pelanggan yang ada di dalam kedai ketika itu sempena hari jadinya.

"Dia juga berkongsi berita gembira akan bercuti ke Langkawi bersama anaknya," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan empat sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut manakala seorang kanak-kanak lelaki cedera parah selepas kenderaan mereka dirempuh kenderaan lain di simpang tiga Jalan Kolam Machap.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi, kesemua mangsa iaitu warga emas Ibrahim Daud,71, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Latipah Dorahim,66, menantu mereka, Syazana Tharin,30, serta cucunya Yusuf Daniel Muhammad Izwan, lima tahun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!