Empat sekeluarga maut nahas di simpang tiga

Kenderaan MPV dinaiki mangsa sekeluarga terlibat dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Kolam Machap awal pagi Ahad hingga mengorbankan empat daripada mereka. (Gambar kecil: Ibrahim. Latipah)
Kenderaan MPV dinaiki mangsa sekeluarga terlibat dalam kemalangan di simpang tiga Jalan Kolam Machap awal pagi Ahad hingga mengorbankan empat daripada mereka. (Gambar kecil: Ibrahim. Latipah)
A
A
A

ALOR GAJAH - Empat sekeluarga termasuk kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut manakala seorang lagi kanak-kanak lelaki cedera parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh kenderaan lain di simpang tiga Jalan Kolam Machap, di sini, awal pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 7.45 pagi itu, kesemua mangsa iaitu warga emas, Ibrahim Daud,71, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya, Latipah Dorahim,66, menantu mereka, Syazana Tharin,30, serta cucunya, Yusuf Daniel Muhammad Izwan, lima tahun meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Alor Gajah kerana mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian kesemua mangsa menaiki MPV jenis Toyota Estima yang dipandu Muhammad Izwan Ibrahim,30, dalam perjalanan dari arah Selandar ke Alor Gajah.

Menurutnya, setiba di simpang tiga berkenaan, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Land Cruiser dipandu lelaki berusia 59 tahun dari arah Durian Tunggal, secara tiba-tiba telah keluar simpang dan membelok ke kanan menghala ke arah Selandar.

Beliau berkata, Muhammad Izwan yang beralamat di Felda Bukit Senggeh, Asahan cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter namun terlanggar bahagian kiri hadapan kenderaan pacuan empat roda terbabit.

Katanya, akibat kemalangan itu, bapa Muhammad Izwan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu, isteri serta seorang anak lelakinya disahkan meninggal dunia di hospital kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

"Seorang lagi anak Muhammad Izwan, Aniq Fahim yang belum pasti usianya sedang dirawat di zon merah hospital yang sama.

"Sementara itu Muhammad Izwan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Arshad berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda yang beralamat di Bukit Beruang itu telah dibawa ke hospital kerana mengalami sakit dada.

Beliau berkata, jenazah kesemua mangsa telah diserahkan kepada pihak Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom.

"Pemandu berusia 59 tahun kemudian ditahan polis lebih kurang jam 11 pagi semasa memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan polis," ujarnya.