Sambutan luar biasa kaum Cina terhadap calon BN Pagoh

Ismail
Ismail
A
A
A


PAGOH - Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed mengakui amat teperanjat apabila calon BN di kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Razali Ibrahim menerima sambutan luar biasa daripada pengundi kaum Cina.

Beliau mengakui sangat gembira dengan perkembangan itu dan ternyata mereka mahukan BN menang di Pagoh.



"Penerimaan daripada pengundi Cina sangat luar biasa manakala pengundi India sememangnya bersama dengan kita.



"Amat memeranjatkan. Kalau calon BN Pagoh tidak turun, mereka jemput kita. Ini satu perkembangan luar biasa," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Tambahnya, beliau yakin pengundi Cina yang terlibat dengan perniagaan memang inginkan BN menang supaya negara ada perubahan dari segi ekonomi dan mereka melihat pengalaman BN menguruskan negara.

"Harapan saya pengundi di Pagoh pilih BN. Jadi jika Parlimen menang dan di peringkat nasional dapat rampas.

"Kalau Pagoh jadi kawasan pembangkang ini adalah satu kerugian. Lima tahun tercicir takkan nak tercicir lima tahun lagi. Perlu pilih BN untuk kebaikan dan kemakmuran bersama," katanya

Sementara itu, beliau turut gembira dengan prestasi semasa Razali di Pagoh apabila sambutan daripada masyarakat setempat sangat baik dan keputusan BN mencalonkan Razali di Pagoh seperti memberi nafas baharu di sini.
Artikel Berkaitan:


"Jadi saya sangat senang hati dengan perkembangan positif ini dan sepanjang kempen didadakan juga tiada perkara-perkara yang tak elok berlaku.

"Saya yakin Razali dengan jentera kami ini kita akan dapat tawan tempat-tempat lawan," jelasnya.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Pagoh menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan calon Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; calon BN, Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan (PH), Iskandar Shah Abd Rahman.

Kerusi Parlimen Pagoh disandang Muhyiddin yang memenangi PRU14 dengan majoriti 6,927 undi, menewaskan calon Pas, Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN, Ismail Mohamed.

Sementara itu Razali, yang juga bekas Ahli Parlimen Muar menang tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13, namun tewas pada PRU14 kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ketika itu bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 6,953 undi.