PRN: 2 ADUN PKR sokong calon Amanah pertahan kerusi Sabak, Meru

Ahmad Mustain, Mohd Fakhrulrazi
Ahmad Mustain, Mohd Fakhrulrazi
A
A
A

SHAH ALAM - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak dan Meru menyatakan sokongan penuh kepada calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

ADUN Sabak, Ahmad Mustain Othman dan ADUN Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar sebelum ini memenangi kerusi itu atas tiket Amanah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), bagaimanapun kedua-dua pemimpin itu menyertai PKR pada tahun 2020.

Ahmad Mustain berkata, pada ketika ini perkara lebih mustahak sudah tentu memenangkan calon daripada Pakatan Harapan (PH).

"Bagi saya ada kerusi atau tidak, ia tidak memberi apa-apa kesan kerana sebagai pemimpin kita tidak mengejar kedudukan serta pangkat.

"Sekiranya kerusi (DUN Sabak) diberi kepada Amanah ia terpulang kepada pucuk pimpinan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Beliau memberitahu, sokongan hendaklah diberikan kepada mana-mana calon PH dan tentunya mahu memastikan kemenangan di DUN berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, beliau memohon pertimbangan daripada pucuk pimpinan parti agar mengembalikan semula kerusi Parlimen Sabak Bernam kepada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Sudah menjadi tradisi PKR bertanding di Parlimen (Sabak Bernam) sejak 1999 lagi sebelum kerusi ini diberikan kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pada PRU14 dan kepada Amanah PRU15," tambahnya.

Sementara itu, Mohd Fakhrulrazi berkata, kerusi DUN Meru itu diserahkan sepenuhnya kepada pimpinan PH untuk membuat keputusan terbaik.

Jelas beliau, parti mana pun bertanding mewakili PH di DUN Meru, ia perlu disokong dalam usaha menyumbang satu kerusi bagi pembentukan kerajaan PH di negeri ini.

Malah, katanya, sekiranya perkhidmatannya masih diperlukan PKR, beliau terbuka dan bersedia untuk diletakkan sebagai calon PRN.

"Saya bersedia jika diperlukan, namun apa pun saya serah kepada kepimpinan," ujarnya.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Mustain mewakili Amanah menang majoriti 130 undi selepas memperoleh 6,891 undi menewaskan calon BN, Sallehuddin Mohd Iskan yang mendapat 6,851 undi serta calon Pas, Sallehen Mukhyi dengan 6,183 undi.

Kerusi DUN Meru menyaksikan Mohd Fakhrulrazi juga daripada Amanah memperoleh 17, 655 undi dengan majoriti 9,608 undi menewaskan calon BN, Khairul Anuar Saimun yang mendapat 7,804 undi.

Calon Pas, Noor Najhan Mohamad Salleh dan bebas masing masing memperoleh 7,804 dan 72 undi.