PRU15: RM6 juta selesai isu tekanan air rendah di DUN Trong

Jamilah (kiri) menyantuni pengundi di Permatang Raja sempena program ziarah kasih.
Jamilah (kiri) menyantuni pengundi di Permatang Raja sempena program ziarah kasih.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Masalah tekanan air rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong selesai selepas kerja penggantian dan baik pulih paip lama yang dimulakan sejak awal tahun ini.

Penyandang kerusi DUN Trong, Jamilah Zakaria daripada BN berkata, sebanyak RM1.2 juta telah disalurkan bagi kerja-kerja berkenaan di beberapa kampung termasuk Permatang Raja.

Menurutnya, proses permohonan baru telahpun dibuat menerusi Lembaga Air Perak (LAP) untuk menambah peruntukan RM5 juta lagi bagi keseluruhan kawasan DUN berkenaan.

Permohonan awal telah saya kemukakan sejak empat tahun lepas dan alhamdulillah telah diluluskan tahun ini sebanyak RM1.2 juta. Kerja-kerja ini akan disiapkan hujung tahun ini.

"Sekarang kita dalam proses permohonan RM5 juta daripada LAP untuk kita naik taraf saluran-saluran paip di kawasan-kawasan lain pula," katanya ketika ditemui dalam program ziarah kasih sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Permatang Raja di sini pada Sabtu.

Bekas guru itu berkata, masalah tekanan air rendah merupakan isu lama yang dihadapi penduduk DUN itu sejak berpuluh tahun lalu.

Katanya, perkara itu disebabkan keadaan paip uzur dan berkarat sehingga kerap berlaku insiden paip pecah di beberapa kawasan.

"Ini antara tumpuan infrastruktur yang saya bawa sejak sepenggal menjadi wakil rakyat di sini.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH banyak lagi pembangunan akan dibawa ke kawasan ini sekiranya diberi mandat sekali lagi," katanya.

Sementara itu, pihaknya sedang merangka perancangan jangka masa panjang dari aspek ekonomi dan sosial menerusi impak pembangunan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) di kawasan itu.

"Pengundi di sini seramai 17,000 sahaja, meskipun begitu pembukaan WCE nanti akan memberi peluang penjanaan ekonomi dan pendidikan yang lebih baik," katanya.

Pada PRU15 ini, Jamilah berdepan saingan empat penjuru dengan Faisal Abdul Rahman daripada Perikatan Nasional (PN), Junaida Jamaluddin (Pakatan Harapan) dan Mustafaa Kamal (Pejuang).

Pilihan raya lalu, beliau menang dengan majoriti 1,898 undi.