Kerajaan digesa kaji semula Akta Pengangkutan Awam 2010

Jose ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Tuntut Lain, Dapat Lain pada Sabtu
Jose ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Tuntut Lain, Dapat Lain pada Sabtu
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan E-Hailing Malaysia menuntut agar kerajaan mengkaji semula Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) supaya ditambahbaik bagi memudahkan penggiat industri e-hailing di negara ini.

Ketua Aktivis Gabungan E-Hailing Malaysia, Jose Rizal berkata, ia berikutan berlaku perubahan pada struktur pentadbiran kerajaan menyebabkan pelaksanaan akta berkenaan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Ujar beliau, perubahan pentadbiran itu melibatkan pertukaran daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) seterusnya menghadkan penguatkuasaan terhadap industri e-hailing.

“Apa guna ada akta kalau ia tidak boleh gunakan dan tidak mengekang sesuatu perkara yang menyalahi undang-undang.

“Bagi kami, banyak bukti-bukti dalam industri e-hailing ini. Yang kita tahu dalam laporan media, sudah ada tiga kes pembunuhan terhadap pemandu.

“Sampai bila kerajaan kita nak bertindak? Sedangkan undang-undang itu sudah ada, tetapi penguatkuasaannya tidak boleh dilaksanakan kerana kekangan akibat daripada pertukaran suruhanjaya kepada agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan Kompas Rasuah Busters Edisi Khas PRU15 bertajuk Tuntut Lain, Dapat Lain yang dihoskan Sam Ghani pada Sabtu.

Sementara itu, beliau berkata, pendekatan sistem atau dasar yang diguna oleh kerajaan melibatkan kepentingan penggiat industri e-hailing itu juga dilihat konvensional dan tidak masuk akal.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sistem menguruskan urusan permit, bayaran lesen dan insurans bagi industri e-hailing perlu ditambahbaik supaya tidak memberi kesukaran kepada pemandu-pemandu e-hailing yang lain.

“Contohnya kalau nak ‘renew’ (perbaharu) lesen, kita tidak perlu pun pergi ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi boleh pergi ke Pusat Transformasi Bandar (UTC), pejabat pos atau mana-mana untuk urusan itu.

“Tetapi kalau pemandu e-hailing ini, dia nak perbaharui lesen, cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM), dia kena pergi ke cawangan JPJ sahaja.

“Ini kerana mereka (kerajaan) tidak ada satu sistem yang meletakkan pemandu e-hailing ini di dalam data kerajaan,” ujarnya.

Jelasnya, sepanjang tempoh tiga tahun industri e-hailing beroperasi di negara ini sudah mencukupi untuk kerajaan melaksanakan pendekatan efektif bagi mengawal syarikat-syarikat berteknologi tinggi yang ada di pasaran masa kini.