PRU15: Putra tawar pembangunan sektor ekonomi

Nasrul Ali Hassan beramah mesra bersama penduduk di Tendong, Pasir Mas
Nasrul Ali Hassan beramah mesra bersama penduduk di Tendong, Pasir Mas
A
A
A

PASIR MAS - Rakyat Pasir Mas akan menikmati pembangunan sektor ekonomi yang mampan sekiranya calon daripada Parti Bumiputera Malaysia (Putra) memenangi kerusi bagi Parlimen itu.

Calon Putra, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif berkata, berdasarkan rekod sebelum ini pihaknya yakin mampu menambahbaik dan meningkatkan taraf kehidupan rakyat di kawasan itu melalui pelbagai perancangan yang tersusun.

Nasrul Ali Hassan
Nasrul Ali Hassan

“Saya nampak ada ruang dan peluang malah ini juga merupakan perancangan saya sendiri untuk merancakkan ekonomi Pasir Mas yang sedia maklum tahu sektor perniagaan merupakan sumber ekonomi di sini.

“Selain itu, saya juga ingin melaksanakan pembangunan bebas cukai bagi membolehkan pelabur-pelabur luar masuk walaupun ada ramai pihak yang menyatakan susah untuk menarik pelabur luar masuk ke kawasan luar bandar.

“Kita cuma perlukan pengetahuan dan kebijaksanaan untuk menarik pelabur- pelabur luar melalui pelbagai sumber yang ada di Pasir Mas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Putra Pasir Mas, di sini.

Nasrul Ali Hassan berkata, beliau yakin sekiranya rakyat dan pengundi luar di kawasan itu memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat pastinya rakyat akan memperoleh manfaat daripada perancangan yang telah disusun untuk pembangunan Pasir Mas.

“Walaupun saya dianggap sebagai orang luar namun rakyat perlu ingat bahawa ini merupakan pemilihan bagi peringkat Parlimen dan kita perlukan individu yang boleh membawa suara rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingin menyatakan bahawa semua janji-janji yang kami beritahu bukan cakap kosong. Beri izin untuk Putra membantu rakyat di kawasan ini demi masa depan yang lebih membangun,” katanya.