Tuan Ibrahim akan fail saman fitnah terhadap Rafizi

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sudah mengarahkan peguamnya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebaik sahaja tamat tempoh tujuh hari permohonan maaf yang diberikan kepadanya.

Menurut Tuan Ibrahim, kenyataan Rafizi merupakan satu fitnah jahat bagi menghancurkan reputasinya serta parti Pas secara umumnya.

“Surat tuntutan kepada Rafizi telah dihantar oleh peguam saya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 10 November 2022.

“Tuntutan yang dikemukakan antaranya ialah Rafizi memberi akujanji bertulis untuk berhenti daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan tuduhan yang beliau lakukan kepada saya dan membuat permohonan maaf dalam jangka masa tujuh hari daripada tarikh surat tersebut.

“Jangka masa tujuh hari akan berakhir pada 17 November 2022,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Isnin lalu, Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden Pas itu berhubung status projek tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas pada Selasa memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Pada Jumaat pula, Rafizi sekali lagi membuat sidang media bagi mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut dan bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata, sidang media tersebut hanya menguatkan lagi sangkaan ramai bahawa Rafizi hanya membuat tuduhan palsu dan penyelewengan fakta.

“Dalam sidang media tersebut, Rafizi menyatakan bahawa surat bertarikh 7 Oktober 2022 dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk memaklumkan keputusan Menteri Kewangan meluluskan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 secara rundingan terus kepada Mangkubumi Sdn Bhd.

“Berdasarkan kepada surat itu, adalah jelas bahawa kelulusan berkenaan bukanlah dibuat oleh saya ataupun KASA.

“Surat tersebut dikeluarkan pada 7 Oktober 2022, sebelum Parlimen dibubarkan dan bukan semasa tempoh kerajaan sementara,” ujarnya.

Menurutnya, sidang media yang dibuat oleh Rafizi juga gagal mendedahkan bukti keterlibatan beliau dalam kelulusan projek termasuk usahanya atau KASA untuk menganugerahkan projek tersebut ketika kerajaan sementara.

“Saya juga telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak pernah berjumpa, berunding atau membuat apa-apa tindakan semasa tempoh kerajaan sementara ke arah menganugerahkan projek tersebut,” jelasnya.