Bantuan, subsidi melegakan rakyat

BKM dan pelbagai inisiatif oleh Perdana Menteri perkukuhkan ekonomi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Mengambil alih tampuk pentadbiran negara ketika kes Covid-19 melonjak ke angka lebih 20,000 sehari bukanlah satu tugas yang mudah.

Ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos tahun lalu, kes baharu Covid-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 22,262 dengan 260,880 kes aktif dan 223 kematian.

Amanah berat yang digalas bukan sahaja untuk menangani krisis kesihatan dan kemelut politik malah lebih utama adalah untuk memulihkan semula ekonomi negara yang jatuh merudum.

Dalam tempoh 14 bulan pemerintahan Ismail Sabri sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, ekonomi Malaysia yang lesu mula mengukuh sehari demi sehari.

Berikutan itu, Bank Dunia pada 27 September lalu dilaporkan menyemak semula dengan menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi keseluruhan tahun ini kepada 6.4 peratus daripada 5.5 peratus sebelum ini.

Ketua Ahli Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, Dr Aaditya Matoo berkata, langkah badan kewangan global itu menaikkan unjuran tahun ini ekoran terdapat peningkatan dalam permintaan domestik.

Mengakui pengukuhan itu, Ketua Ekonomi Bank bagi Malaysia, Apurva Sanghi pula dilaporkan memberitahu, pertumbuhan ekonomi negara terutama pada suku kedua naik kepada 8.9 peratus.

Katanya, pertumbuhan berkenaan disokong oleh pembukaan ekonomi dan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempengaruhi penggunaan domestik serta pertumbuhan kukuh eksport terutama elektrik dan elektronik (E&E).

Artikel Berkaitan:

Pengukuhan ekonomi itu dilihat hasil pelbagai inisiatif yang dilakukan Ismail Sabri menerusi pentadbirannya yang mengutamakan kesejahteraan rakyat di bawah konsep Keluarga Malaysia.

​​​DasarKeluargaMalaysia

Pakar Ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, dasar Keluarga Malaysia bertunjangkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran sangat relevan.

"Tanpa mengira status dan latar belakang rakyat, Perdana Menteri meneruskan agenda pemberian bantuan dan subsidi menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). Kerajaan juga membenarkan pengeluaran wang KWSP.

"Jadi, bantuan BKM dan pengeluaran KWSP ini telah meningkatkan perbelanjaan isi rumah sekali gus melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) domestik," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

No Image Caption

Jelasnya, pemberian subsidi kepada rakyat yang mencecah RM77.7 bilion termasuk peruntukan tambahan subsidi ayam dan telur tahun ini turut memacu ekonomi untuk pulih.

"Dengan inisiatif ini, wujud inflasi berhijab iaitu kadar inflasi semasa ketika ini sekitar 3.7 ke 4.7 peratus walaupun inflasi sebenarnya tanpa ada subsidi dianggarkan 12 peratus.

"Kadar inflasi berhijab ini bukan sahaja menolong rakyat tetapi turut mempengaruhi pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh, Malaysia dianggap negara terkedepan dari segi kenaikan gaji berbanding kadar inflasi sebenar," ulas beliau.

BKM merupakan inisiatif bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah. Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan bawah RM2,500 dengan anak lebih lima orang mendapat bantuan RM2,500 sebanyak.

Sementara itu, Pakar Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri menjelaskan, langkah kerajaan membuka semula sektor ekonomi dan industri secara berperingkat turut merancakkan kembali pertumbuhan negara.

"Selepas semua sektor ekonomi beroperasi, kita lihat peluang pekerjaan meningkat dan kadar pengangguran berkurang.

"Industri pelancongan, perhotelan, penerbangan yang menjana ekonomi juga semakin pulih apabila pintu sempadan dibuka," ujarnya.

Di samping itu katanya, pelbagai insentif lain turut diberikan kepada semua golongan rakyat termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"Bagi PMKS mereka menikmati keistimewaan seperti geran perniagaan yang membantu mereka berdaya tahan selain mahasiswa dibantu dengan PerantiSiswa," ujarnya.

INFO

Kesan kestabilan politik terhadap ekonomi:

- Pertumbuhan tinggi

- Penurunan kadar pengangguran

- Kestabilan inflasi

- Peningkatan gaji dan upah

Sumber: Dipetik daripada artikel bertajuk Kestabilan Politik dan Pertumbuhan Ekonomi Negara oleh Ahli Ekonomi EU-ERA, Profesor Muzaffar Shah Habibullah

REAKSI RAKYAT

No Image Caption

"Terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan BKM. Ia sedikit sebanyak membantu rakyat meneruskan kelangsungan hidup ketika ini." - Penolong Pengurus Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), Muhd Amireen Heaqal.

No Image Caption

"Saya dan suami dapat BKM tahun ini sebanyak RM1,000. Syukur sebab bantuan ini memang berguna buat kami untuk tampung perbelanjaan harian." - Pekerja Kilang Elektronik, Asmalaili Awang@Shaari.

No Image Caption

"Terima kasih kerajaan sebab beri BKM di saat rakyat benar-benar memerlukan. Moga pemberian ini diteruskan lagi pada masa hadapan demi menjaga kebajikan rakyat." - Pembantu Tadbir, Ahmad Azhar.

No Image Caption

"Saya guna wang BKM untuk tampung beli barang dapur dan isi minyak kereta. Syukur sebab kerajaan masih berikan bantuan sebegini dan saya harap nilai yang diberikan terus ditambah lagi." - Suri rumah, Rashida Mohamad.

No Image Caption

"Alhamdulillah saya dapat wang BKM RM1,100 tahun ini dan saya serahkan kepada isteri untuk disimpan sebagai tabung kecemasan nanti." - Pembantu Tadbir Kewangan, Syed Muhamad Saufiyuddin Syed Bahrun.