Mangsa banjir dakwa belum terima bantuan baik pulih rumah

Antara penduduk kampung yang hadir pada perhimpunan aman di Kampung Sungai Serai.
Antara penduduk kampung yang hadir pada perhimpunan aman di Kampung Sungai Serai.
A
A
A

HULU LANGAT - "Tiada lagi tempat untuk kami mengadu, kami sudah guna saluran rasmi tetapi tiada jawapan, kami buntu."

Itu luahan penduduk Kampung Sungai Serai selepas lebih 100 orang mangsa banjir belum menerima bantuan baik pulih rumah.

Ketua Kampung, Zainuddin Mohamad Tasar mendakwa, lebih 160 penduduk yang mengalami kerugian susulan pelbagai kerosakan dialami mereka semasa bencana banjir besar yang melanda negara hujung tahun lalu masih belum menerima bantuan yang dijanjikan.

"Kami sendiri pun hairan, semua borang dah hantar sekarang tiba-tiba hilang.

"Kami dah mengadu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), dan beberapa ahli Parlimen tetapi masih tiada jawapan.

"Jadi hari ini kami berhimpun secara aman nak beritahu orang-orang atasan yang borang maklumat yang mereka bagi itu dalam dua bulan penghulu sudah lengkap dan serahkan kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Sungai Serai di sini, pada Jumaat.

Kira-kira 50 orang penduduk mula berkumpul sekitar jam 2.30 petang hingga 3 petang pada perhimpunan aman di Kampung Sungai Serai di sini.

Zainuddin
Zainuddin

Zainuddin berkata, penduduk kampung ada menerima bantuan tunai berjumlah RM1,000 daripada kerajaan negeri tetapi masih tiada khabar berita berhubung bantuan baik pulih rumah seperti yang dijanjikan kepada mereka.

"Bantuan tunai daripada kerajaan negeri awal lagi kami sudah terima. Saya sendiri pun menjadi mangsa dan saya sendiri bersama sekitar 163 penduduk masih belum terima bantuan baik pulih rumah.

"Keseluruhan mangsa banjir ada 400 lebih orang dan 163 daripada jumlah itu masih belum menerima bantuan, manakala selebihnya tidak dapat dipastikan sudah terima atau belum kerana tidak memberikan respon ketika ditanya menerusi grup WhatsApp penduduk," jelasnya.

Beliau berkata, penduduk setempat juga telah beberapa kali menghubungi pegawai bertanggungjawab menguruskan bantuan berkenaan namun tiada jalan penyelesaian.

"Saya dah hantar WhatsApp kepada pegawai jabatan berkenaan tetapi tiada respon. Bila dia dengar kami nak berdemo hari ini baru dia nak respon, itu pun jawapan diberi tidak memuaskan," ujar beliau.

Sinar Harian akan cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak yang bertanggungjawab berhubung perkara ini.