PRU15: Modenkan sektor pertanian di Manong

Berhanudin (tiga dari kanan) ketika menyantuni peniaga dan orang ramai di Pekan Sehari di Manong hari ini.
Berhanudin (tiga dari kanan) ketika menyantuni peniaga dan orang ramai di Pekan Sehari di Manong hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR – Sektor pertanian di Manong perlu dibangunkan dengan sistematik ke arah meningkatkan ekonomi penduduk.

Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong, Berhanudin Ahmad berkata, langkah itu perlu dengan memberikan latihan dan kemahiran penggunaan jentera supaya anak muda dapat menguasai sektor pertanian secara moden.

Beliau berkata, pihaknya percaya dengan usaha itu dapat mengurangkan kebergantungan kepada penyewaan jentera pertanian.

“Kita bagi anak muda latihan kemahiran membaik pulih jentera dan kemahiran itu boleh memajukan sektor pertanian ke arah yang lebih moden bagi meningkatkan hasil,” katanya ketika ditemui semasa menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Sehari Pekan Manong pada Jumaat.

Menurut beliau, Manong merupakan kawasan pertanian dan selain memajukan sektor penternakan, ia juga mempunyai Sungai Perak yang boleh dijadikan kawasan ternakan akuakultur.

Ditanya mengenai pendekatan diambil bagi mendekati pengundi muda, Berhanudin yang juga bekas pensyarah di Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) berkata, beliau mendekati golongan tersebut dengan memberikan kesedaran supaya mereka keluar mengundi pada PRU15 ini.

“Saya meminta pengundi muda memilih parti PN yang mempunyai integriti, bersih dan bebas daripada rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

“Sebagai orang politik walaupun pada mulanya pengundi muda takut dengan orang politik, tetapi kita tidak boleh pisahkan mereka yang merupakan generasi yang akan memimpin negara pada masa depan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Manong mempunyai lebih 1,500 pengundi muda berumur 18 hingga 24 tahun iaitu 15 peratus daripada 24,000 pengundi di DUN berkenaan.

Berhanudin akan ditentang oleh calon Pakatan Harapan (PH), Jamsari Mahamood dan calon BN, Mustafa Shah Abdul Hamid.