PH lapor SPRM jika menang PRU15: Rafizi

 Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) menegaskan jika mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti, mereka akan membuat laporan kepada pihak berkuasa mengenai peranan beberapa pemimpin negara dalam isu yang melibatkan tadbir urus kerajaan.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, dalam isu melibatkan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mangkubumi Sdn Bhd, beliau berharap menteri terlibat tidak berselindung di sebalik surat tuntutan mengenai projek terbabit.

“Walaupun Tuan Ibrahim sebelum ini mencabar saya untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), saya berharap beliau bersabar kerana sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya PH membentuk kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat.

“Saya juga akan menumpukan perhatian kepada tanggungjawab Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan yang meluluskan projek-projek rundingan terus seperti ini dalam sidang media yang akan datang,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Pada Isnin lalu, Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden Pas itu berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Rafizi mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah meluluskan sebarang projek di bawah kementerian itu sejak Parlimen dibubarkan.

Sementara itu, mengulas mengenai surat tuntutan yang dibuat Tuan Ibrahim terhadap Rafizi, beliau mengesahkan telah menerima surat tersebut semalam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun dakwa Rafizi, surat tuntutan itu bukanlah saman kerana ia mungkin boleh digunakan sebagai modal kempen politik pada PRU15 ini.

“Saya berharap Tuan Ibrahim meneruskan niatnya untuk menyaman saya di mahkamah. Saya tidak mahu surat tuntutan yang dihantar semalam menjadi alat kempen semata-mata dalam tempoh berbaki kempen PRU15 tetapi selepas itu ia tidak berakhir dengan saman di mahkamah.

“Saya mahu ke mahkamah kerana saya ada bukti yang kukuh mengenai pendedahan saya itu,” katanya.