Tuan Ibrahim ambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi

Gambar dari kiri: Tuan Ibrahim, Rafizi
Gambar dari kiri: Tuan Ibrahim, Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengambil tindakan undang-undang terhadap Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berhubung dakwaan berkaitan rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.

Mengikut laporan yang disiarkan portal rasmi Pas, surat tuntutan berkenaan telah diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid.

Berdasarkan surat tuntutan itu, Rafizi diminta untuk mengeluarkan satu draf permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat itu dikeluarkan.

Beliau juga diminta untuk mengeluarkan satu aku janji bertulis untuk berhenti daripada menerbitkan atau menulis dan mengeluarkan kenyataan yang sama, juga dalam tempoh tujuh hari.

Pihak guaman yang mewakili Tuan Ibrahim juga mencadangkan satu jumlah ganti rugi yang munasabah kepada beliau, yang mana jumlah yang dipersetujui tersebut perlu dibayar serta-merta setelah pihak yang berkaitan mencapai persetujuan berkenaan dengan jumlah kuantum ganti rugi.

Pada Isnin lalu, Rafizi dalam satu sidang media menuntut penjelasan daripada Timbalan Presiden Pas itu berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Rafizi mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim dalam kenyataan balas pada Selasa memaklumkan, tiada kelulusan boleh diberikan terhadap mana-mana peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, tidak pernah meluluskan sebarang peruntukan mana-mana projek setelah Parlimen dibubarkan dan tiada mana-mana pihak yang datang berjumpanya bagi meminta kelulusan RM2 bilion itu.

Tuan Ibrahim juga menggesa Rafizi agar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mempunyai bukti.