Cadang zon bebas kereta

Adly Zahari
Adly Zahari
A
A
A
MELAKA TENGAH - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Zon Bebas Kereta, 'Free Car Zone' di lokasi terpilih seperti Jonker Walk dan Bangunan Stadhyus bermula pada tahun ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, walau bagaimanapun pandangan penduduk di kawasan berkenaan akan diutamakan sebelum perbincangan yang akan diketuai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew direalisasikan dalam tempoh sebulan percubaan.

Menurutnya, tempoh berkenaan bakal dilaksanakan ketika musim cuti sekolah dengan menekankan dua faktor utama pengangkutan yang dibenarkan sama ada melalui laluan air ataupun beca untuk menghubungkan kawasan itu.

Katanya, perbincangan dari setiap sudut yang akan diadakan dalam masa terdekat, termasuk mengenal pasti jumlah penduduk yang terlibat serta impak mahupun manfaat yang diperolehi penduduk tempatan dan peniaga daripada pelaksanaan zon tersebut yang julung kali diadakan di negeri ini.

"Isu utama kita mahu mengetahui penduduk tempatan di Jonker Walk bagaimana mereka menguruskan perniagaan mereka dan sebagainya.

"Tujuan kita nak pastikan program (zon bebas kereta) boleh meningkatkan pendapatan, jika tidak menepati kita tidak akan laksanakan," katanya.

Adly berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Tambahnya, bagi merealiasikan hasrat itu juga duta kecil negeri ini yang terdiri daripada pengayuh beca akan diberikan perhatian sewajarnya bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, supaya mereka turut bakal menikmati manfaat program tersebut.

"Ada teguran kita terima daripada pelancong mengenai beca Melaka, dan dari semasa ke semasa kita akan menambah baik perkhidmatan itu," katanya.
Artikel Berkaitan:


Dalam perkembangan lain, pihaknya turut merangka beberapa aktiviti kesenian yang akan memberi 'mood' ceria melalui lukisan mural di beberapa kawasan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.

"Ada mural yang telah digunakan hingga empat ke lima tahun dan perlu ada kaedah baharu kerana sebahagian pelancong menganggap mural sebagai daya tarikan.

"Perkara itu akan dimuktamadkan berhubung kos pelaksanaannya mengikut model, imej dan tema berbeza di kawasan yang telah dilaksanakan terutamanya membabitkan lokasi sekitar Sungai Melaka dan Jalan Jonker," katanya.