PRU15: Polis NS terima 12 laporan kesalahan berkempen

Semua parti diingatkan agar membuat permohonan permit untuk sebarang aktiviti berkempen seawal mungkin. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Dzaffir)
Semua parti diingatkan agar membuat permohonan permit untuk sebarang aktiviti berkempen seawal mungkin. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Ahmad Dzaffir)
A
A
A

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan menerima 12 laporan berkaitan kesalahan melibatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula hari pertama berkempen sehingga pada Khamis.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, daripada jumlah itu, lima kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

"Kesalahan dilakukan iaitu perbuatan khianat dengan mengoyak dan merosakkan poster calon, banner, gegantung dan mengalihkan bendera-bendera parti yang bertanding.

"Lima kes masing-masing berlaku di daerah Jempol, Kuala Pilah, Rembau dan Seremban," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Bagaimanapun beliau berkata, tiada sebarang tangkapan dilakukan dan polis masih dalam usaha untuk mengesan suspek yang terlibat.

Jelasnya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara tujuh tahun atau denda. Orang ramai yang mempunyai maklumat dinasihatkan untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan,"katanya.

Selain itu, Ahmad Dzaffir berkata, sebanyak 353 aktiviti ceramah kempen telah diadakan bermula daripada 5 November hingga Khamis.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, semua parti diingatkan agar membuat permohonan permit untuk sebarang aktiviti berkempen seawal mungkin.

"Ia bagi memberi ruang kepada polis untuk memastikan tiada pertembungan aktiviti berkempen antara parti dan pada masa sama memastikan kawasan berkempen tidak mengganggu ketenteraman dan kesesakan di tempat awam.

"Kegagalan mana-mana penganjur memohon permit adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 248 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,"katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Dzaffir berkata, polis akan terus mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam semasa proses PRU15.