PRU15: Manifesto GTA garis tujuh agenda pembaharuan

Dr Mahathir - Foto Bernama
Dr Mahathir - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Gerakan Tanah Air (GTA) menggariskan tujuh agenda pembaharuan dalam tawarannya yang mampu membentuk kerajaan berprinsip, berintegriti dan mempertahankan kedaulatan undang-undang serta membawa Malaysia kembali menjadi Harimau Asia.

Dalam dokumen yang dinamakan Agenda Baharu Malaysia itu, GTA menegaskan bahawa perikatan politik itu bukan untuk menentang bukan Melayu tetapi menentukan hak yang adil dan saksama bagi semua kaum.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, jika kerajaan yang ditubuh berpegang kepada prinsip-prinsip tersebut, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat dipenuhi.

“Rakyat dari setiap lapisan masyarakat akan mendapat keadilan yang sewajarnya dan tidak ada keadilan terpilih atau kumpulan kayangan yang diberi keistimewaan tanpa gari manakala rakyat biasa tergari.

“Kebebasan rakyat sebagaimana yang diperuntukan di dalam Perlembagaan akan dihormati sepenuhnya. Ini bermakna hak bukan Melayu dan bukan bumiputera seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan akan dipertahankan,” katanya dalam Pengumuman Khas Gerakan Demi Tanah Air malam ini.

Tujuh agenda membangunkan Malaysia baharu yang terdapat dalam tawaran itu adalah bangsa wibawa, bangsa makmur, bangsa berdaulat, bangsa bertamadun, negara moden, negara sejahtera dan negara lestari.

Kata Dr Mahathir lagi, pada pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, terlalu banyak janji-janji yang ditaburkan oleh parti bertanding sehinggakan ia sukar untuk dipenuhi.

“Yang pasti kami tidak akan menjanjikan bulan dan bintang jika kami menjadi kerajaan. Dari pengalaman yang lepas, kami dapati, apabila terlampau banyak janji ia sukar dipenuhi.

Artikel Berkaitan:

“Jika ia dipenuhi, ia pasti akan membebankankKerajaan sehingga ada kepentingan awam yang terpaksa diketepikan demi memenuhi janji yang dibuat,” katanya.

Antara perkara yang disentuh dalam tawaran itu adalah peranan Dewan Negara yang perlu dirombak untuk tidak lagi menjadi ‘rubber stamp’ kepada pemain politik tetapi disertai oleh pemimpin masyarakat sebenar dalam kalangan badan bukan kerajaan (NGO), profesional, pemimpin belia dan wanita serta tokoh-tokoh dari usahawan, ulama dan orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, GTA turut menawarkan komitmen untuk membersihkan Malaysia daripada elemen salah guna kuasa, rasuah, kecurangan urus tadbir dan kelemahan penyampaian ke arah negara yang beramanah, cekap dan berintegriti demi keselamatan dan kebajikan rakyat.

“Kami komited untuk memperkukuh konsep pengasingan kuasa dan integriti, kebebasan, keluhuran dan kebajikan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kehakiman, Peguam Negara dan Majlis Raja-Raja Melayu serta penubuhan Suruhanjaya Diraja Integriti dan Urus Tadbir Negara,” tulis tawaran itu.

Tawaran itu juga meletakkan agenda pendidikan sebagai inisiatif paling penting dalam mengangkat martabat bangsa dan negara bertujuan untuk menjadikan pelajar mencapai potensi yang sebenar, membangun manusia dengan nilai hidup dan patriotisme.

Tawaran tersebut turut menyatakan bahawa GTA tegas terhadap kepentingan merombak kepimpinan pendidikan dan pengajian tinggi dengan menyerahkannya pada kelompok profesional, terpelajar dan berpengalaman luas.

"Kepimpinan pendidikan mesti dipisahkan daripada agenda politik berkepentingan bagi memperkukuhkan standard perguruan, pendidikan dan sains dan teknologi sesuai dengan keperluan masa hadapan,” tulis tawaran itu.

Menyentuh isu tanah rizab, aset Melayu dan perumahan rakyat, ia turut menawarkan dana pembangunan tanah watan dan pengurusan nilai komersial secara ekuiti dapat menyelesaikan isu-isu tersebut.

Dokumen itu juga menawarkan beberapa jaminan seperti kawalan harga barang dan monopoli.

"Memberi kuasa dan ruang lingkup lebih meluas, hukuman lebih berat kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menangani isu kartel, monopoli, profiteering dan termasuk kepada kawalan harga barang.

"Mempertimbang semula ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) memandangkan kos melebihi manfaat dan hanya sekelompok kecil pemain kapital besar yang mendapat manfaat.

"Proses penilaian sebarang perjanjian perdagangan dan antarabangsa harus melalui satu kajian kos manfaat yang komprehensif, rundingan awam menyeluruh dan pemantauan Parlimen," tulis tawaran itu.

Selain itu, GTA mengambil pendekatan membangunakan dasar agar NGO sebagai Rakan Pembangunan Negara (Partners in Nation Building).

“NGO akan menjadi tiang ketiga pembangunan negara selain sektor swasta untuk menjadi agen penyampaian khidmat, rakan pembangunan dasar, kerja-kerja kebajikan rakyat, aktiviti berfokus dan kemahiran khusus dan sebagai tangan, mata serta telinga kerajaan demi rakyat membangun Malaysia Sejahtera dan Makmur,” tulis tawaran itu.