PRU15: Elak terpedaya tawaran ekstrem pembangkang

Mahdzir (tengah) berswafoto dengan sebahagian peserta yang hadir.
Mahdzir (tengah) berswafoto dengan sebahagian peserta yang hadir.
A
A
A

KUALA NERANG - Pengundi muda diminta tidak terpedaya dengan tawaran manifesto pembangkang yang ternyata memberi harapan palsu apabila gagal melaksanakan janji-janji pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjanjikan pelbagai tawaran ekstrem namun apabila diberikan mandat mentadbir negara, mereka gagal melaksanakan janji untuk menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN), tol lebuh raya serta menurunkan harga minyak kepada tahap minimum.

Menurutnya, sehubungan itu, pengundi muda harus lebih bijak menilai manifesto terbaik seperti dibentangkan BN yang dilihat lebih praktikal untuk ditunaikan.

“Sampai hari ini PH tak boleh laksana, sehinggalah bertukar kerajaan. Maknanya PH memberi satu manifesto yang tidak ada harapan sebenarnya. Kepada anak-anak muda, pilihlah tawaran lebih praktikal yang boleh dilakukan oleh kerajaan berdasarkan kewangan, kemampuan dan kebolehan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Pemantapan Ilmu Institusi & Usahawan di Felcra Kubang Kenyeng, dekat sini pada Khamis.

Mahdzir berkata, kesemua parti politik yang bertanding pada PRU15 telah menawarkan tawaran kepada rakyat, namun pengundi wajar bijak memilih yang terbaik buat mereka.

Tawaran dikemukakan BN adalah tawaranpraktikal selain kebanyakannya berasaskan kepada Belanjawan 2023 yang telah dibentangkan di Parlimen.

"Ia merangkumi semua golongan, termasuk wanita, anak muda, veteran, kanak-kanak, pesara kerajaan yang tinggal di bandar mahupun di luar bandar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahdzir berkata, pengundi muda juga tidak dipinggirkan dalam manifesto yang ditawarkan BN, antaranya pakej pendidikan berkaitan kemahiran Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) selain jaminan peluang pekerjaan berkaitan industri 4.0 dan teknologi hijau.

Sehubungan itu, tegas beliau, janji-janji manis pembangkang yang disebarkan menerusi laman sosial perlu ditapis golongan muda dengan tidak menerima maklumat secara membuta tuli.

“Antara usaha kita untuk bendung maklumat tidak tepat di media sosial diterima bulat-bulat adalah dengan berikan kesedaran politik kepada anak muda.

“Antaranya dengan wujudkan sekolah politik untuk beri kesedaran mengenai sistem pemerintahan negara berasaskan demokrasi berparlimen,” ujarnya.

Menurutnya, anak muda perlu didedahkan dengan pendidikan politik berkaitan demokrasi, pilihan raya, peranan wakil rakyat serta tanggung jawab sebagai pengundi.

“Ini akan membantu mereka untuk menilai manifesto mahupun parti yang harus mereka pilih pada PRU15 khususnya pengundi 18 tahun yang pertama kali mengundi agar mereka mempunyai ilmu berkaitan sebelum menunaikan tanggung jawab memilih kerajaan,” kata calon BN di Parlimen Padang Terap itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, Mac lalu, memaklumkan UMNO akan menubuhkan sebuah sekolah politik dikenali Pusat Demokrasi Rakyat bagi menarik lebih ramai golongan muda, khususnya pengundi baharu berfikiran kreatif selain mengubah pemikiran ahli parti itu, sekali gus menjamin kemenangan dalam PRU15.