NFC pasti berjaya jika kerajaan patuhi perjanjian: Mohamad Salleh

Mohamad Salleh hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan. - Foto Bernama
Mohamad Salleh hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur berhubung projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi, pada Khamis bahawa Pusat Fidlot Nasional (NFC) adalah projek berdaya maju dan bagus kerana ia melibatkan isu sekuriti makanan negara.

Mohamad Salleh, 74, bagaimanapun, berkata, pembekalan dan pengeluaran daging lembu oleh NFCorp dihentikan apabila kerajaan telah menggantung projek NFC di Gemas, Negeri Sembilan itu sejak Mei 2009.

"Sekiranya kerajaan mematuhi Jadual 8 perjanjian pelaksanaan iaitu membina rumah sembelih kualiti eksport (EQA), sudah pasti projek itu akan berjaya.

"Daripada perspektif NFCorp, sekiranya kerajaan melaksanakan apa yang dipersetujui dalam Jadual 8 perjanjian pelaksanaan projek ini, ia boleh dilaksanakan. Bagaimanapun, tiada rumah sembelih EQA dibina pada masa itu,” kata suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau juga berkata bahawa perjanjian pelaksanaan masih belum ditamatkan oleh kerajaan.

Mohamad Salleh berkata demikian ketika diperiksa semula oleh peguamnya, Datuk K Kirubakaran, pada perbicaraan kes saman difailkan kerajaan terhadap NFCorp bagi menuntut pembayaran balik pinhaman termasuk faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung projek NFC Gemas.

Ditanya oleh peguamnya berhubung kegagalan membayar balik pinjaman RM253.6 juta kepada kerajaan, katanya, beliau tidak dapat membayar pinjaman tersebut kerana tiada pengeluaran daging lembu itu.

Mohamad Salleh, yang merupakan defendan kedua bagaimanapun berkata, NFCorp tidak melanggar perjanjian pinjaman kerana gagal membayar ansuran pertama pada 2012 seperti yang dijadualkan.

Artikel Berkaitan:

"Yang Arif, benar seperti dinyatakan dalam jadual, kami perlu membayar balik pinjaman selepas tempoh tiga tahun pada 2012.

"Namun, ia bergantung kepada pengeluaran daging lembu. Tanpa pengeluaran, kami tidak dapat membayar balik pinjaman dan sebenarnya kami menulis kepada kerajaan meminta penangguhan pembayaran,” katanya.

Mengikut perjanjian pinjaman itu, NFCorp sepatutnya membayar balik RM17 juta setahun dari 2012 hingga 2028.

Ditanya oleh Hakim Anand Ponnudurai mengapa NFCorp tidak membina rumah sembelih EQA jika kerajaan gagal membinanya, Mohd Salleh berkata: "Kosnya kira-kira RM60 juta dan kita tidak ada wang sejumlah itu.”

Dalam saman itu, kerajaan menamakan NFCorp sebagai defendan pertama, manakala Mohamad Salleh serta tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing sebagai defendan kedua hingga kelima.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah enam syarikat dikawal keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan mendakwa satu perjanjian telah ditandatangani dengan NFC pada 6 Disember 2007 bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi NFC Gemas selaras dengan dasar untuk membangun serta meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman itu disalurkan kerajaan kepada NFCorp dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Perbicaraan bersambung 15 Mac depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!