PRU15: PH lulus Enakmen Anti Lompat Parti jika menang di Perak

Mujahid (tengah) bersama calon PH kerusi DUN Titi Serong, Muhammad Nakhaie Wahab (kiri) dan Anuar Ahmad (DUN Kuala Kurau) menunjukkan profil dan fokus pembangunan yang dibawa pada PRU15 ini.
Mujahid (tengah) bersama calon PH kerusi DUN Titi Serong, Muhammad Nakhaie Wahab (kiri) dan Anuar Ahmad (DUN Kuala Kurau) menunjukkan profil dan fokus pembangunan yang dibawa pada PRU15 ini.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Pakatan Harapan (PH) akan memastikan Enakmen Anti Lompat Parti lulus di Perak sekiranya menang dan mentadbir kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perkara itu tindakan pertama dilakukan agar selari dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang telah diluluskan di Dewan Rakyat yang melarang wakil rakyat bertukar parti.

Menurutnya, agak mengecewakan apabila kerajaan pimpinan BN dan Perikatan Nasional (PN) gagal membawa usul berkenaan ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan enakmen itu tidak dapat dikuatkuasakan di peringkat negeri.

"Kita di negeri ini, tidak ada enakmen anti lompat parti sedangkan apabila telah dilakukan di Pusat, peringkat negeri kenalah sambut.

"Malangnya menteri besar (Perak) tidak mempunyai 'political will' untuk melakukannya menyebabkan akta berkenaan tidak dapat dikuatkuasakan di peringkat negeri

"Jadi di Perak jika PH diberikan peluang, perkara pertama dilakukan dalam Sidang DUN adalah untuk mengemukakan usul enakmen ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Pusat Gerakan Induk PH di sini pada Khamis.

Pada Oktober lepas, Enakmen Anti Lompat Parti telah diluluskan Sidang DUN di beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan, Perlis dan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu yakin, PH Perak boleh memenangi 40 kerusi daripada keseluruhan 59 DUN bagi membentuk kerajaan yang stabil di Perak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keyakinan itu berdasarkan gelombang baharu yang ditunjukkan rakyat terutama dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding kerusi Parlimen di Perak.

"Melihat kepada kebangkitan sokongan ini, kita yakin boleh memang. Tinjauan rambang yang kita lakukan, nampak rakyat kecewa dengan BN dan PN, jadi mereka kali ini mahu beri peluang kepada PH pula," katanya.

Keputusan PRU14 menyaksikan gabungan PH di Perak menang di 29 kerusi DUN iaitu DAP dengan 18 kerusi, Amanah (6), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (3) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (1).