Tok Pa akan terus jaga Jeli

Tok Pa (kanan) beramah mesra dengan Orang Asli semasa majlis perasmian penanaman pokok herba bagi BMTKM 2022-2025 di perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Jeli pada Khamis.
Tok Pa (kanan) beramah mesra dengan Orang Asli semasa majlis perasmian penanaman pokok herba bagi BMTKM 2022-2025 di perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Jeli pada Khamis.
A
A
A

JELI - Meskipun tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan beliau akan terus menjaga kawasan tersebut.

Mustapa atau lebih mesra dipanggilan Tok Pa berkata, keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi itu dibuat atas faktor kesihatan.

"Saya tidak lagi bertanding (PRU15) di Jeli. Bagaimanapun saya masih lagi wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas.

"Saya akan jaga anda semua sampai bila-bila. Sejak tahun 1994 lagi saya jaga anda semua (penduduk Jeli) dan sudah masuk 28 tahun," katanya semasa menyampaikan ucapan ringkas pada majlis perasmian penanaman pokok herba bagi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) 2022-2025 di perkampungan Orang Asli Sungai Rual, di sini pada Khamis.

Menurut Mustapa, beliau hampir setiap minggu turun bertemu penduduk bagi mengambil berat kerana BMTKM adalah ideanya.

Sebelum ini Tok Pa menerusi satu kenyataan mengesahkan beliau memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli atas faktor kesihatan.

Sebagai ganti, Setiausaha politiknya, Zahari Kechik diumumkan sebagai calon Parlimen Jeli bagi Perikatan Nasional (PN).

Zahari yang merupakan adik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Bunga, Mohd Adhan Kechik itu akan bertanding menggunakan simbol bulan mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi PN.

Artikel Berkaitan:

Tok Pa memenangi Parlimen Jeli atas tiket BN sejak tahun 1995 dan mempertahankan kerusi berkenaan selama enam penggal berturut-turut.

Pada PRU15 Zahari bakal berdepan tentangan tiga lagi calon iaitu Dr Muhammad Daud (GTA-Pejuang), Norwahida Patuan (BN) dan Md Radzi Wahab (PH).

PRU14 lalu, Tok Pa yang bertanding atas tiket BN menang dengan majoriti 6,647 menewaskan calon Pas dan PKR.