PRU15: Ewon perkasa bahasa Kadazandusun dalam kempen

Ewon Benedick
Ewon Benedick
A
A
A

PENAMPANG - 'Tompinai koungawi' yang bermaksud 'saudaraku sekalian' antara perkataan yang tidak lekang di bibir calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick sepanjang berucap pada kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Kampung Tindai Kolupis di sini pada petang Rabu.

Ewon, 39, yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dilihat mengambil pendekatan berkempen dengan menggunakan bahasa ibunda Kadazandusun di kawasan Parlimen yang ditandinginya kerana ia disifatkan lebih mesra dan dekat dengan penduduk yang mendengar ucapannya.

"Dari segi penggunaan bahasa sebenarnya bahasa Kadazandusun itu banyak keunikannya, banyak yang indah dan kenapa kita tidak gunakannya.

"Kalau bahasa Melayu kita gunakan 'saudara saudari' di mana saudara itu merujuk kepada lelaki, saudari itu merujuk kepada wanita, tetapi dalam bahasa Kadazandusun, tompinai koungawi itu sudah mengambarkan semua yang ada tidak kira jantina dan sebagainya.

Ewon beramah mesra dengan penduduk di Kampung Tindai Kolupis, Penampang.
Ewon beramah mesra dengan penduduk di Kampung Tindai Kolupis, Penampang.

"Jadi itu salah satu keunikan bahasa Kadazandusun yang mesti kita perkasakan dan jadikan ia dalam pengucapan harian kita," katanya ketika ditanya mengenai pendekatan kempennya di kampung berkenaan.

Jelasnya lagi, penggunaan perkataan tompinai koungawi sudah lama diamalkan sejak dahulu lagi termasuk ketika menjawat jawatan sebagai menteri kabinet Sabah dalam kerajaan terdahulu.

"Dari dulu saya membudayakan penggunaan tompinai koungawi berbanding dengan penggunaan perkataan 'ladies and gentleman', saudara dan saudari, tuan-tuan dan puan-puan.

Artikel Berkaitan:

"Saya lebih suka menggunakan tompinai koungawi termasuklah semasa saya berada di kementerian dulu dalam ucapan rasmi sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah. Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pun saya menggunakan istilah itu kerana keindahan bahasa Kadazandusun dan ia mesti dibudayakan oleh rakyat biasa.

"Jadi ini lebih mesra, nampak mesra, dilihat mesra dan sememangnya mesra," katanya yang juga ADUN Kadamaian.

Sebelum itu, Ewon yang pertama kali bertanding di peringkat Parlimen memilih Penampang untuk merebut semula kerusi tradisi UPKO daripada penyandangnya, Datuk Darell Leiking dari Parti Warisan (Warisan).

Beliau yakin PH akan memenangi Parlimen berkenaan berdasarkan trek rekod beliau sebagai ADUN Kadamaian.

Ewon berdepan dengan persaingan empat penjuru dan turut berentap dengan dua lagi calon iaitu Kenny Chua Teck Ho dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan calon Bebas, Richard Jimmy.