PRU16: PN sasar rampas Pahang, unjur menang 22 kerusi DUN

KUANTAN - Pas dan Perikatan Nasional (PN) dijangka berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau lebih pada pilihan raya akan datang, sekali gus membuka ruang kepada perubahan pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum ke16 (PRU16).
Ketua Penerangan Pemuda Pas Pahang, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan trend penurunan konsisten jumlah kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) di negeri itu sejak empat penggal lalu.
Menurutnya, data menunjukkan dominasi BN di Pahang semakin terhakis apabila jumlah kerusi yang dikuasai merosot daripada 38 kerusi pada PRU12 kepada hanya 17 kerusi pada PRU15 yang lalu.
"Trend penurunan ia menunjukkan satu indikator jelas perubahan sokongan rakyat di negeri ini.
"Ini juga membuktikan bahawa dominasi politik BN semakin terhakis dari satu PRU ke satu PRU, selain keyakinan rakyat terhadap parti tersebut tidak lagi seperti dahulu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau menjelaskan keyakinan itu turut didorong oleh perubahan landskap sokongan rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi muda dan pengundi Melayu di kawasan luar bandar.
Jelasnya, unjuran ini selari dengan gelombang pengundi baharu yang dilihat semakin menerima pendekatan politik bersih, stabil dan berintegriti yang dibawa oleh Pas dan PN.
Justeru, Ahmad Azlan berkata, pihaknya akan terus memperkukuh gerak kerja penerangan dan mobilisasi rakyat bagi memastikan momentum perubahan ini diterjemahkan kepada kemenangan dalam pilihan raya akan datang.
"Perubahan politik di Pahang bukan lagi satu kemungkinan yang jauh, tetapi satu realiti yang sedang terbina dengan iltizam yang utuh daripada semua jentera parti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

