Berhenti saling tuding jari masalah air, elektrik di Sabah - Ewon

Ewon menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah pada Program CSR Bantu Sekolah YBR di Dewan SM St Micheal Penampang.
Ewon menyampaikan sumbangan kepada wakil sekolah pada Program CSR Bantu Sekolah YBR di Dewan SM St Micheal Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Saling menuding jari berhubung isu bekalan air dan elektrik harus hentikan, kata Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebaliknya menyarankan supaya semua pemimpin di Sabah bersatu hati mencari jalan penyelesaian bagi dua isu yang dihadapi rakyat di negeri ini.

Katanya, rakyat memerlukan kepimpinan yang tegas dan boleh mencari penyelesaian isu rakyat dan bukannya mencari kesilapan atau kesalahan.

“Apa yang kita perlukan adalah peruntukan, bukan soal siapa silap dan siapa benar. Rakyat memerlukan kepimpinan yang boleh mencari penyelesaian masalah.

"Itu sebabnya wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah telah mengadakan satu sesi perjumpaan khas dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta beliau menyediakan peruntukan tambahan yang besar kepada Sabah untuk membantu menyelesaikan masalah bekalan air dan elektrik serta jaringan jalan raya di Sabah.

"Saya memilih untuk mencari penyelesaian dan membawa rakan saya dalam PH mencari penyelesaian daripada kita terus menuding jari kerana pendekatan itu tidak akan membawa penyelesaian," katanya selepas melancarkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Bantu Sekolah Yayasan Bank Rakyat (YBR) di Dewan Sekolah Menengah (SM) Saint (St) Micheal Penampang, pada Jumaat.

Hadir sama pada program itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang; Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang dan Pengetua SM St Micheal Penampang, Jennifer Asing.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, perkara itu juga telahpun dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet yang lalu.

"Saya amat yakin, bila Perdana Menteri berkunjung ke Sabah dalam beberapa minggu ini, beliau akan mengumumkan sesuatu yang baik untuk Sabah terutamanya melibatkan peruntukan tambahan.

"Secara prinsipnya, Perdana Menteri telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan tambahan kepada Sabah untuk menyelesaikan masalah seperti air, elektirk dan jaringan jalan raya," katanya.