Usia 78 tahun masih kerah kudrat sebagai nelayan

Di usia 78 tahun, Shafie masih mengerah hasil titik peluh sendiri dengan turun ke laut menangkap ikan.
Di usia 78 tahun, Shafie masih mengerah hasil titik peluh sendiri dengan turun ke laut menangkap ikan.
A
A
A

BUKIT GANTANG - Melewati usia lanjut tidak menghalang seorang nelayan warga emas di Kampung Menteri, Matang di sini terus bekerja mencari nafkah buat keluarga.

Shafie Madan, 78, masih mengerah hasil titik peluh sendiri dengan turun ke laut menangkap ikan bagi menyara kehidupannya bersama isteri.

Bercakap kepada Sinar Harian, bapa kepada sembilan anak itu tidak mahu terlalu bergantung kepada anak-anak kerana masing-masing turut menjalani hidup dalam kesederhanaan.

"Dari usia 18 lagi saya dah turun ke laut. Sekarang walaupun dah nak cecah 80 tahun, saya masih lakukan perkara sama. Alhamdulillah ALLAH kurniakan kesihatan yang baik buat saya.

"Bukan kerana anak-anak tak bantu, tetapi saya masih memerlukan pendapatan untuk menyara isteri yang menghidap sakit kencing manis dan bergantung kepada rawatan serta ubat-ubatan," katanya.

Berbekalkan bot kayu yang digunakan sejak lebih 20 tahun lalu, Shafie menangkap ikan senangin dan belanak untuk dijual kepada peraih.

Shafie
Shafie

Jika keadaan cuaca baik, dia mampu meraih hasil tangkapan sekitar RM1,500 sebulan menerusi jualan ikan belanak antara RM4.50 ke RM5 bagi satu kilogram dan senangin RM15 ke RM20 sekilogram.

Artikel Berkaitan:

"Ada masanya enjin bot rosak, dekat dua minggu juga untuk baiki, terpaksalah saya tumpang bot kawan untuk ke laut," katanya yang menerima bantuan enjin sangkut daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) baru-baru ini.

Shafie berkata, enjin sangkut baru itu amat diperlukan bagi menggantikan enjin sedia ada yang sering rosak.

"Kalau beli sendiri memang tidak mampu kerana kosnya mahal. Jadi dengan adanya enjin baharu ini, saya boleh turun ke laut tanpa perlu bimbang rosak di tengah laut.

"Harapan saya selepas ini moga dapat bantuan bot baharu pula, maklumlah bot saya sekarang ini dah uzur benar," katanya.

LKIM pada 3 November lepas telah menyerahkan bantuan enjin sangkut kepada 25 nelayan sekitar Matang.

Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, bantuan itu bagi membantu nelayan yang mengalami masalah kerosakan dan keuzuran enjin dalam mencari nafkah sebagai nelayan.

"Pemberian bantuan enjin sangkut ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM250,000.

"Bantuan ini juga bukan hanya dapat meringankan beban nelayan, tetapi dalam masa sama membantu menambah pendapatan mereka," katanya.

LKIM telah memperuntukan lebih RM1.47 juta bagi bantuan enjin sangkut dalam fasa pertama tahun ini melibatkan 147 penerima.