Usahawan Malaysia beli AFC Wimbledon

Ananth menjadi pemegang saham individu kedua terbesar dalam Liga Kedua Kelab Bola Sepak Inggeris, AFC Wimbledon. - Foto Facebook Ananth S. Nathan
Ananth menjadi pemegang saham individu kedua terbesar dalam Liga Kedua Kelab Bola Sepak Inggeris, AFC Wimbledon. - Foto Facebook Ananth S. Nathan
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Esports Malaysia (MESF), Datuk Ananth S Nathan membuat pelaburan besar dalam kelab bola sepak Inggeris, AFC Wimbledon.

Pelaburan yang dibuat Ananth dalam AFC Wimbledon bukan sahaja menyaksikan beliau adalah pemegang saham individu kedua terbesar dalam Liga Kedua Kelab Bola Sepak Inggeris, malah telah menjadikannya sebagai seorang daripada beberapa pemilik Asia bagi pasukan bola sepak Eropah.

Dalam kenyataan pada Rabu, Ananth berkongsi bahawa perjalanannya sendiri seiring dengan kisah perjuangan dan kejayaan AFC Wimbledon, membentuk ikatan segera dengan semangat dan ketabahan kelab bola sepak itu.

Beliau juga percaya kisah AFC Wimbledon akan bergema di Malaysia dan seluruh Asia.

Semangat komuniti yang kuat dalam kebangkitan semula kelab merupakan pemangkin penting dalam pelaburan ini. Ia tidak pernah terlintas di fikiran saya sebagai pelaburan, saya melakukannya kerana saya suka bola sepak dan sejarah romantis kelab.

"Apabila saya mengetahui mengenai kelab ini di muzium di Plough Lane (di Wimbledon), saya teruja. Itulah kesan yang ingin saya wujudkan di Malaysia. Jadi apabila peluang ini tiba, saya perlu meletakkan nama saya," katanya.

Pada 2002, Wimbledon FC ketika itu yang dikenali sebagai Dons, telah dipisahkan secara kontroversi daripada masyarakat tempatan dengan keputusan suruhanjaya Persatuan Bola Sepak.

Kelab itu telah dipindahkan 112.654km dari tapak asal kelab dan diwujudkan semula di bawah nama dan pemilikan baharu.

Artikel Berkaitan:

Detik yang menyukarkan bagi peminat, ini mendorong mereka mewujudkan kempen untuk melancarkan semula kelab itu sebagai AFC Wimbledon pada tahun yang sama, mengekalkan legasi cemerlang pasukan itu.

Di sebalik sejarah sukar mereka, AFC Wimbledon tidak asing dengan kejayaan kerana kelab itu kini memegang rekod tanpa kalah paling lama dalam perlawanan bola sepak senior Inggeris, dengan 78 perlawanan liga tanpa kalah berturut-turut, selain menjadi juara Piala FA 1988 selepas mengalahkan Liverpool 1-0.

Melalui pelaburan itu, Ananth juga memegang jawatan baharu sebagai Presiden Antarabangsa AFC Wimbledon dan berharap dapat menggabungkan perspektif dan hubungannya yang unik di Asia serta pengalaman E-sukannya yang luas untuk membina legasi Dons yang luar biasa dan peminat yang bersemangat.

Dalam jangka masa panjang, Ananth merancang untuk mengatur perlawanan Dons menentang Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan negara lain di rantau ini serta membangunkan Akademi Wimbledon di Asia untuk membantu menambah pengalaman pemain di seluruh kelab dan pasukan kebangsaan. - Bernama