Memalukan, beri imej buruk bola sepak negara

Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Mohd Azraai
Laporan Sukan Sinar pada Sabtu. Gambar kecil: Mohd Azraai
A
A
A

INSIDEN pergaduhan penyokong di Stadium Ipoh, Perak pada Sabtu ketika aksi Liga Super yang menemukan Perak FC dengan Selangor FC dianggap memalukan dan memberi imej buruk kepada bola sepak negara.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, kekecohan itu bukan sahaja menggambarkan mentaliti yang rendah dalam kalangan penyokong, malah ia melibatkan maruah dan air muka individu itu sendiri.

Menurutnya, bola sepak bukan sekadar sukan semata-mata sebaliknya ia adalah lambang penyatuan, perpaduan dan silaturahim dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Saya pun tak faham. Perkara ini bukan baharu. Sebelum ini pernah terjadi dan kali ini berlaku lagi.

“Mentaliti yang lemah, bukan semua tetapi jumlah yang kecil itu memberi gambaran yang buruk kepada semua pihak. Ia soal maruah dan harga diri,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Justeru, beliau yang pernah melatih Perak berharap peminat tidak terikut-ikut dengan budaya kasar dan memberontak dalam kalangan penyokong di negara Barat.

Katanya, Piala Dunia Qatar 2022 perlu dijadikan sebagai contoh teladan apabila pemain daripada 24 negara saling menghormati walaupun bersaing sengit bagi merebut kejuaraan.

“Budaya kita orang Malaysia sangat istimewa, hormat orang. Jangan ikut budaya tak elok di negara Barat.

“Tengok Piala Dunia dalam padang mereka berlawan, di luar mereka rakan dan saling menghormati. Kalah menang adat permainan,” katanya.

Azraai berkata, agama Islam mengajar umatnya untuk menjaga tingkah laku dan akhlak dalam usaha membentuk jiwa serta hati yang murni.

“Betulkan niat pergi stadium nak tengok bola, bukan nak gaduh. Solat dan doa dahulu sebelum tengok bola, minta dipelihara keselamatan kita dan dijauhi daripada perkara buruk, bergaduh dan sebagainya,” katanya.

Perlawanan Liga Super, Perak menentang Selangor sebelum itu dicemari insiden pergaduhan kedua-dua penyokong di dalam stadium.

Rakaman video mengenai insiden tersebut juga tular di media sosial menunjukkan sekumpulan penyokong tuan rumah menyerbu masuk ke arah tempat duduk pasukan pelawat sebelum sempat dileraikan pasukan keselamatan.

Pergaduhan itu bukan kali pertama kerana insiden kekecohan penyokong Kelantan FC dan Perak FC pernah berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Ogos 2022.