Suami, isteri buat pelaburan ke atas kelab EPL

Watt, Kealia dan anak mereka kini penyokong Burnley.
Watt, Kealia dan anak mereka kini penyokong Burnley.
A
A
A

BEKAS pemain Liga Bolasepak Nasional (NFL) Amerika Syarikat (AS), JJ Watt dan isterinya, bekas pemain bola sepak AS, Kealia Watt, mengumumkan bahawa mereka melabur dalam kelab liga Inggeris, Burnley FC.

Sebagai rekod, Burnley memperoleh kenaikan automatik kembali ke Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal April selepas hanya satu musim di Divisyen Dua, menduduki tempat pertama Liga Kejuaraan.

Pasangan itu berkata, mereka tidak sabar untuk mengukuhkan kehadiran Burnley di peringkat global dan menyumbang kepada komuniti sukan.

"Apabila anda melabur dalam kelab yang telah wujud sejak 1882, anda mesti sangat menghormati sejarah dan tradisi kelab tersebut.

"Kami faham bahawa bukan sahaja melabur dalam skuad dan pengurus, kami juga melabur dalam bandar dan rakyatnya," kata mereka dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi The Clarets, Alan Pace berkata, pasangan itu akan memberi nilai tambah luar biasa kepada sukan dan sejarah kelab serta menarik penonton global.

"Ini adalah perbualan yang telah berlaku sejak sekian lama dan sepanjang musim ini kami sangat kagum dengan semangat dan minat mereka terhadap kedua-dua kelab dan komuniti Burnley," katanya.

Butiran kewangan pelaburan kedua-dua pasangan tersebut tidak didedahkan kepada umum.

Sebagai rekod, Watt merupakan pemain pertahanan terbaik NFL sebanyak tiga kali, mengumumkan persaraannya pada Disember, dianggap antara pemain pertahanan terhebat pada eranya.

Kealia Watt pula pernah bermain untuk Chicago Red Stars dari Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan kini merupakan ejen bebas.

Burnley dimiliki Burnley FC Holdings Limited, dengan Calder Vale Holdings memegang sebanyak 83.97 peratus daripada syarikat dan pemegang saham individu memegang baki saham.