Pengurus besar tak mengaku salah kes lupus harta RM10.6 juta

Paismanathan (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu bagi menghadapi empat pertuduhan berhubung pelupusan harta bernilai RM10.6 juta antara 2017 dan 2018 lalu.
Paismanathan (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu bagi menghadapi empat pertuduhan berhubung pelupusan harta bernilai RM10.6 juta antara 2017 dan 2018 lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang pengurus besar syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas empat pertuduhan berhubung pelupusan harta bernilai RM10.6 juta bagi kerja-kerja yang tidak wujud, antara 2017 dan 2018 lalu.

G Paismanathan, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Bagi semua pertuduhan, dia didakwa dengan curangnya menyebabkan seorang wanita, Chin Yit Wah melupuskan harta milik dua syarikat jenis teknologi dan kejuteraaan bagi pembayaran kepada satu syarikat lain bernilai RM10.6 juta bagi sembilan kerja khidmat yang tidak wujud.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di sebuah syarikat di Ara Damansara antara 1 Ogos 2017 hingga Januari 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM500,000 dengan dua penjamin.

"Bayaran boleh dibuat secara ansuran sebanyak RM250,000 pada Rabu manakala selebihnya sehari sebelum sebutan semula kes.

"Kami juga mencadangkan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM sekali sebulan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam Amir Farid Nawawi dan Mohd Rizal Bahari yang mewakili tertuduh, tidak membantah cadangan tersebut.

Mendengar permohonan tersebut, Rozilah membenarkan tertuduh membayar ikat jamin RM250,000 pada Rabu manakala selebihnya sebelum atau pada Khamis minggu depan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 November depan untuk sebutan semula kes.