Rosol jawab tuduhan masih 'berjiwa UMNO'

Rosol (berdiri) berbual dengan salah seorang penerima Bantuan Pencen Rakyat, OKU dan Ibu Tunggal DUN Manir di Kuala Terengganu pada Rabu.
Rosol (berdiri) berbual dengan salah seorang penerima Bantuan Pencen Rakyat, OKU dan Ibu Tunggal DUN Manir di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Datuk Rosol Wahid menyifatkan tuduhan beliau masih berjiwa UMNO sebagai satu provokosi, dalam masa sama menganggap pihak lawan seolah-olah tiada modal untuk memburukkannya.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu yang juga calon Pas Parlimen Hulu Terengganu itu berkata, tiada isu beliau masih berjiwa UMNO sepertimana kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini dan ia tidak lain hanyalah untuk melemahkan beliau khususnya di hadapan rakyat terutama penyokong Pas.

“Saya menghormati Tan Sri Idris Jusoh sebagai ‘sifu’ saya yang banyak mengajar cara mengurus dan juga menjadi pemimpin. Sebelum saya berhijrah parti, saya dah maklum kepada beliau dan pada peringkat awal dia bersetuju saya berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu.

“Kalau dia kata saya masih berjiwa UMNO walaupun bersama Pas, itu adalah provokasi sebab saya nampak tiada isu orang nak ‘serang’ saya berkaitan rasuah, tidak berakhlak, isu projek dan sebagainya setakat ini sejak 1999 lagi, alhamdulillah.

“Pembangkang akan mencari satu benda (isu) untuk melemahkan saya. Paling penting saya berhijrah daripada satu kelompok yang dipimpin oleh mereka yang tidak amanah kepada kelompok yang setakat ini amanah,” katanya kepada media selepas bertemu penerima Bantuan Pencen Rakyat, OKU dan Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kompleks Al-Kawthar Kubang Lembek, Manir di sini pada Rabu.

Rosol juga menyifatkan penghijrahannya itu sangat dianjurkan oleh agama Islam ke arah yang lebih baik.

Pada Selasa, bekas Ahli Parlimen Besut Tan Sri Idris Jusoh berkata, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa UMNO.

Atas sebab itu, Idris melihat Perikatan Nasional (PN) sukar untuk memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu mendakwa, Pas Hulu Terengganu berat hati bekerja untuk memenangkan Rosol.